Hanya seekor harimau dikesan di Hulu Selangor, kata Perhilitan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kakitangan Perhilitan Selangor memasang kamera di lokasi yang dikatakan seekor harimau dilihat di Batang Kali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 September, 2023.

TIADA aduan baharu diterima selepas seekor harimau dilihat di sekitar Hulu Selangor minggu lalu, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.

Pihak berkuasa juga percaya empat aduan mengenai pemangsa tersebut melibatkan haiwan sama tanpa melibatkan harimau lain.

Pengarah Perhilitan Selangor Dennis Ten Choon Yung memberitahu The Malaysian Insight, mereka sedang mengesan punca harimau itu keluar mendekati habitat manusia.

“Memang kami faham orang ramai takut dan bimbang tetapi kawasan hutan itu memang habitat asalnya dan merupakan hutan tebal.

“Itu memang kawasan haiwan liar itu bergerak cuma tidak pernah dilihat oleh manusia selama ini. Pada hari kejadian, haiwan itu turun ke bawah sedikit dan itu yang kami kena siasat,” katanya.

Jelasnya, pasukan itu sedang menyiasat sekiranya haiwan itu cedera atau habitatnya diganggu kerana ia jarang dikesan di lokasi berkenaan.

Ten berkata jabatannya memasang kamera perangkap bagi mengesan harimau belang itu namun sehingga ke hari ini, tiada makluman baharu selain empat aduan diterima minggu lalu.

Katanya, pemantauan dan pemeriksaan juga sering dilakukan pegawai jabatan itu dan buat masa ini haiwan liar tidak lagi dilihat.

Usaha mengesan harimau belang tersebut turut disertai polis yang mengesahkan menerima laporan pemangsa berkenaan dilihat di empat lokasi di Hulu Selangor.

Ketua Polis Hulu Selangor Ahmad Faizal Tahrim berkata ia dipercayai melibatkan seekor harimau tunggal yang mungkin kelaparan.

“Setakat ini, kami menerima empat laporan polis masing-masing di Serendah, Gohtong Jaya, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali.

“Hasil perbincangan dengan Perhilitan, kami percaya ia hanya seekor harimau yang kemungkinan lapar dan keluar mencari makanannya iaitu monyet yang sering berkeliaran di Jalan Genting itu.”

Seorang anggota polis bantuan membuat laporan di Balai Polis Gohtong Jaya pada 27 September mendakwa melihat haiwan liar itu pada jam 5.30 pagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Siasatan awal mengesahkan kehadiran harimau yang tidak dapat dikenalpasti kerana faktor muka bumi yang padat dan litupan hutan tebal.

Ahmad Faizal berkata kawasan hutan tersebut bersambung melibatkan sempadan kawasan negeri Selangor, Pahang dan Perak.

“Kami sentiasa membuat pengawalan keselamatan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar kawasan itu. Cuma yang kami boleh jelaskan, ia memang habitat haiwan liar itu.

“(Polis) beri peringatan kepada orang ramai yang menjalankan aktiviti pendakian, berkebun dan lain-lain membabitkan hutan itu untuk sentiasa berhati-hati,” katanya.

Individu yang mengesan harimau tersebut digesa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641222. – 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen