DAP kini 'pengikut setia' Zahid, kata Syed Saddiq


Ravin Palanisamy

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melabel DAP sebagai 'munafik', 'gila kuasa' dan 'tidak berprinsip'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2023.

DAP yang pernah mengkritik Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi, kini menjadi “pengikut setia” (lapdog) timbalan perdana menteri itu, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden Muda itu juga melabel DAP, parti komponen kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sebagai “munafik”, “gila kuasa” dan “tidak berprinsip”.

Kenyataan Syed Saddiq itu dibuat selepas Timbalan Presiden DAP Nga Kor Ming berkata presiden Muda itu perlu lebih profesional dengan mengelak daripada menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah melepas tanpa dibebaskan (DNAA) Zahid dalam perbicaraan rasuahnya, secara terbuka.

Berkongsi beberapa tangkap layar hantaran Nga di platform X, Syed Saddiq berkata menteri pembangunan kerajaan tempatan itu pernah menuduh Zahid melakukan rasuah.

Pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memberikan Zahid DNAA dalam perbicaraan rasuahnya.

Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat untuk membenarkan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tetapi menambah kes itu masih terbuka.

Syed Saddiq sebelum ini mengancam untuk menarik balik sokongan daripada kerajaan perpaduan, berikutan DNAA yang diberikan kepada Zahid dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Muda juga berkata ia akan memulakan kempen di seluruh negara untuk mendesak Jabatan Peguam Negara agar mendakwa Zahid sekali lagi atas tuduhan rasuah.

Sementara itu, Nga berkata DAP tidak akan sekali-kali menarik balik sokongannya kepada kerajaan perpaduan walaupun terdapat kritikan berhubung DNAA kes itu.

Pentadbiran Anwar Ibrahim menerajui Putrajaya pada November tahun lepas dengan 148 ahli Parlimen, termasuk Syed Saddiq menyokong beliau untuk memimpin negara.

Ini memberikan Anwar majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pada masa ini, kerajaan mempunyai 147 ahli Parlimen selepas kerusi Pulai kosong berikutan kematian timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub. – 7 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen