Keputusan perintah Bung Moktar, isteri bela diri tidak wajar, kata peguam


Pada 2 September tahun lepas, hakim memerintahkan Bung Mokhtar Radin dan Zizie Izette membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2023.

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah adalah salah dan tidak wajar.

Peguam M Athimulan yang mewakili Bung Moktar berhujah tiada satu pun daripada tiga pertuduhan menunjukkan anak guamnya mendapat rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid (saksi pendakwaan ke-24) dan perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar (PW25) dikemukakan dalam keterangan.

“Dalam kes ini, tiada keterangan daripada kedua-dua saksi itu menyatakan mereka memberi wang kepada Bung Moktar melalui Zizie Izette dan juga tiada bukti daripada Zizie Izette atau sesiapa pun bahawa wang yang diterima oleh wanita itu diterima bagi pihak Bung Moktar.

“Tiada bukti menunjukkan Zizie Izette menyerahkan wang itu kepada suaminya. Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semasa pemeriksaan balas saksi mereka (PW24) seperti bukan di pihak mereka,” katanya.

Peguam itu berkata demikian ketika berhujah dalam permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Athimulan juga berhujah yang penemuan fakta mengenai elemen penting penerimaan rasuah di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen tidak mengikut undang-undang.

Beliau berkata penemuan bukti prima facie yang menyatakan bahawa setiap elemen Seksyen 17(a) SPRM telah dibuktikan, adalah jelas tidak wajar (tiada bukti undang-undang untuk disokong) dan didapati bertentangan dengan prinsip undang-undang.

“Kami berhujah dapatan itu tidak berdasarkan bukti dalam rekod dan terbukti salah daripada rekod itu sendiri, ketidakadilan yang ketara dan pelaksanaan keadilan yang salah telah berlaku kepada pemohon. Penemuan hakim Mahkamah Sesyen terhadap kedua-dua pemohon didapati salah anggapan sepenuhnya dan tidak mematuhi peruntukan undang-undang.”

Athimulan seterusnya berhujah hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam penggunaan Seksyen 50(1) SPRM mengenai anggapan mandatori terhadap Bung Moktar.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan fakta utama bahawa tertuduh sebenarnya menerima suapan daripada PW24 dan PW25. Tiada bukti afirmatif untuk membuktikan fakta utama.

“Memandangkan terdapat kegagalan untuk membuktikan secara afirmatif unsur ‘penerimaan rasuah’ di bawah Seksyen 17(a) SPRM, anggapan statutori di bawah Seksyen 50(1) SPRM tidak terpakai dan tidak boleh digunakan dalam undang-undang,” tambahnya.

Beliau berhujah penggunaan anggapan di bawah Seksyen 50(1) SPRM dan mengalihkan beban tertuduh adalah asas kepada penilaian pembelaan sewajarnya yang dikemukakan oleh tertuduh pada perbicaraan.

“Kesilapan seperti ini, jika tidak diperbetulkan akan menyebabkan perbicaraan tertuduh sebagai tidak adil. Ia juga akan menyebabkan tertuduh disabitkan jika beliau memilih berdiam diri di bawah Seksyen 173(h) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette memberitahu mahkamah beliau mengguna pakai hujahan itu oleh Athimulan.

Sementara itu, TPR Law Chin How berhujah pemohon tidak disabitkan kesalahan dan didapati bersalah atas dakwaan masing-masing pada ketika ini memandangkan perbicaraan masih belum selesai.

Beliau berkata pemohon diberi peluang paling awal untuk membuktikan pada penghujung perbicaraan sekiranya perbicaraan pihak pembelaan dimulakan dengan segera tanpa semakan pada ketika ini.

Cabaran keputusan prima facie adalah bersamaan dengan penyalahgunaan proses mahkamah di mana hak pendengaran pemohon dikekalkan kerana pemohon masih belum memberi keterangan untuk pembelaan, katanya.

“Seksyen 325 KTJ memberikan mahkamah ini kuasa semakan yang mesti dibaca selaras dengan Seksyen 323 kanun yang sama di mana Mahkamah Tinggi perlu berpuas hati tentang ketepatan, kesahihan atau kewajaran mana-mana dapatan, hukuman atau perintah yang direkodkan atau diluluskan, dan tentang ketetapan mana-mana prosiding mahkamah itu selepas Mahkamah Tinggi meneliti rekod prosiding mahkamah rendah,” katanya.

Pada 2 September tahun lepas, hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Mokhtar dan Zizie Izette membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan rasuah. Ini mendorong mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu. – Bernama, 7 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen