Lindungi orang ramai daripada pencemaran udara


PADA Hari Udara Bersih Antarabangsa untuk langit biru ini (7 September 2023), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa Malaysia supaya bertindak segera terhadap pencemaran udara yang merupakan risiko kesihatan alam sekitar terbesar pada zaman ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 99% orang ramai pada hari ini menghirup udara yang tidak selamat.

Pendedahan ini boleh menyebabkan strok, penyakit jantung dan paru-paru, kanser dan banyak lagi.

Secara global, udara tercemar membunuh 6.7 juta orang setiap tahun dan 2.4 bilion orang terdedah kepada paras berbahaya pencemaran udara isi rumah.

Kami menggesa Kerajaan untuk melindungi kesihatan orang ramai dan melaksanakan dasar serta amalan yang baik bagi mengurangkan pelepasan dengan ketara daripada 5 sektor berikut yang dikenal pasti di peringkat antarabangsa sebagai sumber utama pencemaran udara yang didorong oleh manusia:

1. Pengangkutan. Bahan zarah halus termasuk karbon hitam, ozon dan nitrogen dioksida semuanya dikaitkan dengan pelepasan daripada sektor pengangkutan global.

Pendedahan kepada pelepasan kenderaan dikaitkan dengan sehingga 400,000 kematian awal setahun dan kira-kira AS$1 trilion dalam kerosakan kesihatan.

2. Industri. Industri melepaskan sejumlah besar karbon monoksida, hidrokarbon, zarah dan bahan kimia ke udara.

3. Sisa. Pembakaran bahan buangan secara terbuka membebaskan metana, bahan zarah, bahan pencemar organik berterusan dan toksin lain.

Ia memasuki rantaian makanan dan ekosistem, mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar.

4. Isi rumah. Zarah termasuk karbon hitam, karbon monoksida, plumbum dan merkuri adalah bahan pencemar utama daripada pembakaran bahan api pepejal dalam api terbuka dan dapur yang tidak cekap di dalam rumah.

Pencemaran udara isi rumah menyebabkan 4.3 juta kematian awal setiap tahun.

5. Pertanian. Metana yang dihasilkan daripada proses pertanian dan ternakan menyumbang kepada pencemaran udara ozon di paras tanah menyebabkan asma dan penyakit pernafasan lain.

Metana juga merupakan gas rumah hijau berkuasa yang menyumbang kepada sebanyak 45% pemanasan global bersih semasa.

Pembakaran terbuka untuk membersihkan ladang dan tanah pertanian merupakan penyumbang utama pencemaran zarah termasuk karbon hitam.

Pencemaran udara juga berkait rapat dengan krisis iklim yang semakin teruk dan ia memberi kesan kepada ekosistem, mengancam jaminan keselamatan makanan dan produktiviti ekonomi.

Kami menggesa agar pihak berkuasa supaya sentiasa memantau kualiti udara di negara ini, bekerjasama dan membolehkan tindakan merentasi semua sektor utama bagi menangani masalah itu dan melindungi kesihatan dan mata pencarian.

Langkah-langkah yang boleh diambil dalam pengangkutan, bangunan dan bidang lain untuk menjana manfaat udara bersih dan melindungi orang ramai daripada toksin dan bahan pencemar yang berbahaya. CAP menggesa pihak berkuasa supaya:

> Mengeluarkan peraturan baharu bagi mengurangkan bahan pencemar udara berbahaya daripada sumber perindustrian.

> Memastikan dasar yang baik bagi menambah baik pengurusan sisa pepejal perbandaran dan mengurangkan pelepasan daripada sektor itu.

> Melaksanakan pelan tindakan kualiti udara tempatan dan negara.

> Memperkenalkan dasar yang meningkatkan akses kepada sumber tenaga yang bersih dan tidak mencemarkan di semua rumah.

> Sentiasa memantau kualiti udara dan menilai semua sumber pencemaran dan menanganinya dengan segera.

> Memaksa perniagaan untuk menggunakan amalan lestari dari segi ekologi, ekonomi dan sosial yang mengurangkan pencemaran udara.

Bagi orang ramai, pihak berkuasa hendaklah:

> Menyediakan pengangkutan awam percuma di kawasan bandar untuk meningkatkan kesedaran bagi menggalakkan pemandu meninggalkan kereta mereka di rumah.

> Menganjurkan jalan-jalan mesra alam sekitar dan acara berbasikal awam untuk menggalakkan berjalan kaki dan berbasikal.

> Berkongsi bahan pendidikan dalam talian untuk sekolah tempatan.

> Mengadakan jalan bebas kereta.

> Mencipta ruang hijau di bandar untuk membantu menghilangkan beberapa bahan pencemar.

Pihak berkuasa juga perlu menjalankan kempen awam secara berkala untuk menasihati orang ramai supaya:

> Kurangkan sisa, kompos makanan, kitar semula sampah bukan organik, guna semula beg runcit dan jangan membakar sampah.

> Beralih kepada diet kaya tumbuhan, kurangkan produk plastik sekali guna dan pertimbangkan cara mengembara melalui cara yang kurang mencemarkan.

> Gunakan pengangkutan awam, berbasikal atau berjalan kaki untuk bersiar-siar.

CAP menasihatkan pengguna untuk mengelak daripada menghabiskan masa yang lama di tempat-tempat di mana pencemaran terkumpul seperti jalan raya yang sibuk.

Jika berjalan kaki atau berbasikal, menggunakan laluan yang jauh dari jalan yang sesak boleh mengurangkan separuh daripada pendedahan.

Kita semua boleh membantu mengurangkan pencemaran dalam kehidupan seharian kita.

Marilah kita semua “Bersama-sama Untuk Udara Bersih”, seperti yang dianjurkan dalam tema untuk sambutan tahunan ke-4 Hari Udara Bersih Antarabangsa untuk langit biru tahun ini. – 7 September, 2023.

* Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen