Perbincangan jual kuasa elektrik kepada Singapura sedang berjalan, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata negeri ini boleh memainkan peranan penting dalam memajukan peralihan tenaga serantau. – Gambar The Malaysian Insight, 6 September 2023.

SARAWAK sedang dalam proses rundingan komersial untuk menjual kuasa elektrik kepada Singapura, kata Premier Abang Johari Openg hari ini.

Sambungan melalui kabel kuasa bawah laut terus akan menjadi langkah pertama menerokai rangkaian kuasa Borneo sebagai sebahagian daripada grid kuasa Asean serantau.

Dalam ucapannya di Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (Saref 3.0) di Kuching beliau berkata syarikat tenaga negeri Sarawak Energy Bhd (SEB) bersama Sembcorp Industries dan Singapore Power Group menyelesaikan kajian teknikal komprehensif mengenai cadangan sambungan itu.

“Sarawak boleh memainkan peranan penting dalam memajukan peralihan tenaga serantau dengan berkongsi sumber berasaskan kuasa hidro kami dengan jiran serantau melalui saling sambunganm,” katanya.

Dalam perjalanan untuk menjadikan Sarawak sebagai “bateri” Asean, sambungan pertama Sarawak adalah dengan Kalimantan Barat pada 2016 yang Abang Johari sifatkan sebagai “langkah pertama ke arah merealisasikan grid kuasa Borneo”.

Kejayaan itu tambah beliau mendorong Sarawak untuk meneruskan projek hubungan dua hala yang sama.

Beliau berkata pada 2021 SEB menandatangani perjanjian pertukaran kuasa dan interkoneksi dengan Sabah untuk eksport awal 30Mw hingga 50Mw dalam tempoh 15 tahun.

Abang Johari juga mendedahkan Sarawak sedang mengusahakan perjanjian pertukaran kuasa dengan Brunei yang kaya dengan minyak untuk eksport elektrik.

Beliau berkata Sarawak berada di lokasi pusat utama di Asia Tenggara, di pantai timur laut Borneo berkongsi sempadannya dengan Kalimantan Indonesia di pulau Borneo serta Brunei, dan Sabah di Malaysia.

Tambahnya kesalinghubungan adalah salah satu cara utama bagi rantau ini untuk mencapai Sifar Bersih serantau dan sasaran peralihan tenaga. – 6 September 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen