Kenyataan Jabatan Peguam Negara tidak jelas, logik dan meyakinkan


MERUJUK kepada kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara berkaitan keputusan mereka untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia dilihat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada pencerahan.

Pertamanya, kenyataan yang mengatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan kukuh dan telah diterima oleh Mahkamah dilihat sangat mengelirukan.

Perlu diingatkan bahawa, kuasa pendakwaan adalah bawah bidang kuasa pihak pendakwaan dan mahkamah sedia maklum kuasa tersebut dan memberi perintah seperti permohonan yang dibuat oleh pendakwaan.

Jabatan Peguam Negara mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap kenyataan yang dibuat dan bukan seolah-olah menuding jari kepada Mlmahkamah kerana membenarkan keputusan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Keduanya, sekiranya alasan yang dikemukakan oleh pendakwa raya itu dikatakan kukuh atau ‘cogent’ adakah mereka mengatakan bahawa kes yang dikemukakan oleh Raja Rozela (DPP sebelum ini) berlandaskan hujah yang lemah, tidak meyakinkan dan cacat cela?

Adakah Raja Rozela dan Jabatan Peguam Negara gagal dalam melaksanakan tugas mereka sebelum ini, terutamanya apabila sudah ada prima facie dibuktikan dalam kes ini?

Perkataan ‘cogent’ yang digunakan dalam kenyataan ringkas Jabatan Peguam Negara membawa maksud jelas, logik dan meyakinkan.

Malangnya kenyataan yang dibuat adalah bertentangan dengan perkataan yang digunakan.

MUDA mendesak agar Jabatan Peguam Negara lebih “transparent” dalam menjawab persoalan-persoalan yang dilontar oleh rakyat bagi menjaga kredibiliti institusi Peguam Negara.

Institusi perundangan negara ini akan terkesan kerana kes ini melibatkan Timbalan Perdana Menteri dan MUDA sama sekali tidak akan berdiam diri. – 6 September, 2023.


* Nurainie Haziqah Shafi’i, Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen