Pegawai Australia nafi penularan LSD ketika sekatan import lembu


Pihak berkuasa menafikan penyakit kulit berketul (LSD) terdapat di utara Australia selepas Indonesia mengehadkan lagi import lembu hidup dari negara itu. – Gambar AFP, 5 September, 2023.

PIHAK berkuasa menafikan penyakit kulit berketul (LSD) terdapat di utara Australia selepas Indonesia mengehadkan lagi import lembu hidup dari negara itu, lapor Xinhua.

Pemangku Ketua Veterinar Australia Beth Cookson dalam satu kenyataan semalam berkata ujian terhadap lebih 1,000 ekor lembu merentasi 2,800 kilometer (km) di utara Australia tidak mengesan sebarang kesan LSD.

Beliau berkata ujian itu dilakukan atas permintaan pihak berkuasa di Indonesia dan Malaysia selepas LSD dikesan pada lembu asal Australia selepas tiba di Indonesia.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan semalam bahawa pegawai Indonesia pada Sabtu menyekat import dari dua kawasan lembu di Australia Barat selepas mengesan lapan kes LSD pada lembu yang diimport dari kawasan itu.

Pada Julai eksport dari empat kemudahan digantung apabila pihak berkuasa Indonesia menemui 13 kes LSD pada lembu Australia.

Bagaimanapun Cookson dalam kenyataan itu berkata tiada bukti lembu itu dijangkiti di Australia.

“Ujian kami tidak mengesan LSD di Australia dan status penyakit kami tidak berubah,” katanya.

“Keputusan ujian negatif menyerlahkan sistem berkesan Australia untuk pemantauan penyakit haiwan yang berterusan termasuk LSD.”

Menurut laporan dalam akhbar News Corp Australia pada Selasa, Cookson akan bertemu dengan pegawai Indonesia pada Khamis untuk membincangkan pembatalan penggantungan itu. – Bernama, 5 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen