Jangan tunding jari isu bekalan beras, kata Mohamad Sabu


Program Khas Beras Putih Tempatan diperkenalkan sebagai langkah jangka pendek bagi memastikan beras tempatan mencukupi di pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2023.

PEMBANGKANG diminta agar tidak menuding jari berhubung isu bekalan beras tempatan negara yang menurut Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Mohamad berkata kementerian memperkenalkan Program Khas Beras Putih Tempatan sebagai langkah jangka pendek bagi memastikan beras tempatan mencukupi di pasaran.

Beliau berkata di bawah program itu pengilang padi dan pemborong beras diminta menambah bekalan beras putih tempatan (BPT) sebanyak 20%.

“Pembangkang mendakwa terdapat kekurangan bekalan beras di negara ini, itu tidak benar. Pada masa yang sama, mereka tidak melakukan apa-apa untuk meningkatkan pengeluaran semasa mereka berkuasa,” katanya.

Beliau berkata beberapa sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam industri padi dan beras negara juga akan diadakan Khamis ini bagi membincangkan mengenai kaedah dan mekanisme untuk memulihkan pengeluaran beras. 

“Menerusi sesi libat urus itu, KPKM akan menerangkan kaedah dan mekanisme berkaitan bekalan beras tempatan negara, meliputi penyelesaian bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Saya boleh menerima kritikan orang ramai, tetapi bukan daripada mereka (pembangkang) yang hanya mahu saling salah-menyalahkan,” katanya dipetik The Star di Johor Bahru hari ini.

Mohamad berkata inisiatif yang dilaksanakan kementerian sebelum ini seperti Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan, dijangka akan dapat membantu memulihkan pengeluaran beras tempatan.

Beliau berkata ini adalah kerana projek Smart SBB tersebut mampu mengeluarkan hasil yang memberangsangkan iaitu sebanyak 11 metrik tan padi beras bagi satu hektar sawah.

Situasi bekalan di negara ini mendapat perhatian selepas Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengumumkan pada Jumaat lepas ia menaikkan harga beras putih import di semua gudangnya di seluruh negara kepada RM3,200 satu tan daripada RM2,350 satu tan berkuat kuasa serta-merta .

Pelarasan harga itu dilakukan sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa, katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun peningkatan 36%, Bernas berkata harga import Malaysia kekal terendah dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Bagaimanapun, semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan harga beras putih tempatan tidak naik, menafikan pengkritik kerana memberi gambaran yang salah mengenai kenaikan harga makanan ruji harian baru-baru ini.

Perdana menteri berkata kerajaan akan terus mengehadkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram – terendah di rantau ini – dan harga beras import yang meningkat.

“Kita tidak boleh mengawal harga beras putih import tetapi kita kata harga beras (tanaman tempatan) yang dimakan penduduk tempatan tidak boleh dinaikkan. Itu keputusan kami,” Anwar dipetik sebagai berkata semasa ceramah pada Ahad di johor.

“Mereka kata harga beras naik tetapi ini hanya untuk beras putih import.

“Kalau nak makan nasi mahal macam basmati, kena bayar.

“Fakta adalah fakta. Jangan bohong,” katanya mengenai kritikan bahawa kerajaan membenarkan harga semua varieti beras dinaikkan. – 5 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen