SEBANYAK 45 Adun Kelantan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-15 di Kota Darulnaim, di Kota Bharu, hari ini.
Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu dilantik Mohd Amar Nik Abdullah didahului oleh Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud (PAS-Meranti) diikuti dengan sembilan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco).
Terdahulu, Nassuruddin mengemukakan nama Amar (PAS-Panchor) sebagai speaker DUN Kelantan dan Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Bersatu-Kok Lanas) sebagai timbalan speaker sebelum disokong Dr Mohamed Fadzli Hassan (PAS-Temangan) yang juga timbalan menteri besar Kelantan.
Majlis angkat sumpah diteruskan dengan bekas menteri besar Kelantan Ahmad Yakob (PAS-Pasir Pekan); diikuti bekas pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat (PAS-Pengkalan Kubor).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, PAS dan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan apabila menang 43 daripada 45 kerusi DUN. – Bernama, 5 September, 2023.
Komen