INDONESIA telah mewujudkan sebuah Bilik Berita Asean atau “Pejabat Berita Asean” di pusat media Sidang Kemuncak Asean ke-43 di Jakarta untuk mengukuhkan sinergi antara agensi berita serantau.
Ia diharapkan akan dapat meningkatkan liputan agenda Asean pada masa hadapan, di samping memberi inspirasi kepada negara-negara Asean lain dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Asia Tenggara.
Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi, dalam satu kenyataan berkata kerjasama agensi berita akan menggalakkan pertukaran maklumat, mengukuhkan laporan berita dan meluaskan skop pelaporan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata Bilik Berita Asean juga akan menyebarkan pelbagai program, aktiviti dan pencapaian di rantau Asia Tenggara melalui laporan yang tepat, berfakta dan benar.
Pusat operasi Bilik Berita Asean juga akan dibina secara kekal di bangunan Agensi Berita Indonesia, Antara, di Jakarta Pusat.
Pelancaran Bilik Berita Asean semalam dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Nezar Patria, dan pengarah utama Antara Akhmad Munir.
Turut hadir Ketua Pengarah Penerangan dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah dan Ketua Pengarah Penerangan dan Komunikasi Awam Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia Usman Kansong. – Bernama, 5 September, 2023.
Komen