Jabatan Keadilan AS minta kebenaran Kongres guna aset beku Rusia 


JABATAN Keadilan Amerika Syarikat (AS) sedang memohon kebenaran daripada Kongres untuk menggunakan aset Rusia yang dibekukan bagi keperluan Ukraine, lapor Sputnik, memetik Timbalan Peguam Negara AS Lisa Monaco.

“Kami memohon kebenaran Kongres untuk membenarkan kami menggunakan hasil (aset beku Rusia) bagi faedah rakyat Ukraine,” kata Monaco kepada CBS News pada Ahad apabila ditanya apa yang perlu dilakukan dengan aset Rusia yang dibekukan.

Pada Julai, kumpulan G7 dalam pengisytiharannya menegaskan aset Rusia akan kekal dibekukan sehingga Moscow membayar pampasan kepada Kyiv untuk “kerosakan” yang telah ditimbulkan semasa konflik.

Negara-negara Barat membekukan rizab mata wang asing Rusia dan menghentikan pembayaran antarabangsa daripada bank Rusia sebagai sebahagian daripada sekatan terhadap Moscow selepas ia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari 2022.

Moscow berulang kali menyatakan cubaan merampas aset Rusia yang dibekukan adalah rampasan harta yang melanggar undang-undang antarabangsa. 

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov mendakwa Rusia akan melakukan segala yang mungkin untuk memperoleh semula aset itu, memandangkan rampasan yang dilakukan tidak sah. – Bernama, 4 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen