Lelaki direman 7 hari bantu siasatan penjawat awam dipukul hingga mati


SEORANG lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang penjawat awam, selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Lama Pasir Putih-Machang berhadapan Hospital Machang, semalam.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 46 tahun itu, dikeluarkan Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Tanah Merah bermula hari ini hingga 10 September.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata seorang penjawat awam maut, selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Lama Pasir Puteh-Machang berhadapan Hospital Machang, melibatkan dua lelaki berusia 51, dan 46 tahun sekitar 11 pagi.

Beliau berkata akibat pergaduhan tersebut, mangsa berusia 51 tahun mengalami kecederaan parah di kedua mata serta patah tulang rusuk sebelah kiri dan pendarahan serius di bahagian muka, manakala suspek hanya mengalami kecederaan di kedua belah tangan.

“Pergaduhan berlaku tanpa melibatkan sebarang senjata dan mangsa dibawa ke Hospital Machang oleh ambulans untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya. – Bernama, 4 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen