TAUFAN Haikui melanda Taiwan dengan membawa hujan lebat dan angin kencang menyebabkan sekurang-kurangnya 226,000 isi rumah terputus bekalan elektrik dan ramai penduduk cedera, kata pihak berkuasa semalam, lapor agensi berita dpa.
Menurut Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC), Haikui melepasi selatan Taiwan dan memasuki Selat Taiwan pada awal hari ini. Ribut yang lemah itu menuju ke bahagian selatan China.
Angin kencang menumbangkan pokok di timur dan selatan Taiwan dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Semalam ribut itu mencatatkan kelajuan angin berterusan maksimum kira-kira 150 kilometer sejam (km/j), dengan tiupan sehingga kira-kira 190 km/j.
Ribut itu juga menyebabkan tanah runtuh dan banjir.
Menteri Dalam Negeri Lin Yu-Chang yang mengetuai CEOC hari ini menggesa penduduk supaya sentiasa berjaga-jaga kerana bencana banjir boleh berlaku di beberapa kawasan pergunungan yang menerima hujan lebat sejak empat hari lalu.
Menurut CEOC sekurang-kurangnya 78 orang cedera dalam kemalangan jalan raya termasuk penunggang skuter dan pemandu kereta yang dihempap pokok tumbang.
Kira-kira 8,000 penduduk dipindahkan dan 1,916 orang ditempatkan di pusat perlindungan awam semasa Haikui melanda, menurut CEOC.
Ekor ribut itu akan terus menjejaskan cuaca tempatan di Taiwan sehingga awal Selasa iaitu apabila CEOC dijangka menarik balik amaran taufan. – Bernama, 4 September, 2023.
Komen