Zahid syukur lepas tanpa bebas


Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskannya terhadap kes dihadapinya menunjukkan tuduhan bermotif politik selama ini sudah berjaya dihentikan. – Gambar Afif Abd Halim, 4 September, 2023.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskannya (DNAA) terhadap kes dihadapinya menunjukkan tuduhan bermotif politik selama ini sudah berjaya dihentikan.

Terdahulu Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan untuk menawarkan DNAA kepada Zahid bagi membolehkan siasatan lebih terperinci berhubung perkara itu

Zahid berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

“Saya dan semua ahli keluarga termasuk menantu, cucu dan isteri berasa bersyukur kepada ALLAH kerana hari ini mahkamah buat keputusan bahawa 47 kes yang dituduh kepada saya telah digugurkan,” katanya.

Beliau berkata selepas ini menjadi tugasnya dan kepimpinan BN serta Umno untuk memulihkan persepsi rakyat terhadap segala bentuk tuduhan politik selama ini yang dilemparkan kepada mereka.

“Tugas kami dalam Umno dan BN adalah untuk meneruskan perjuangan ini supaya lemparan tuduhan yang selama ini bermotifkan politik dapat dihentikan,” katanya pada sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu peguam belanya Hisyam Teh Poh Teik berkata mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan di mahkamah tinggi pada keesokan hari.

“Esok kami akan fail rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Seorang lagi peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal ketika membacakan kenyataan berkata keputusan peguam negara berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.

“Ingin kami tekankan, peguam negara hanya melaksanakan budi bicara mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukanlah kali pertama untuk mana-mana peguam negara menggunakan budi bicara yang diperuntukkan untuk menarik balik pertuduhan dari pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini. – 4 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen