Jangan terima retorik perpecahan Perikatan, kata Santiago


Keputusan PRK Pulai boleh mempengaruhi kedudukan Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2023.

BEKAS ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa pengundi Pulai menyokong calon perpaduan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan kemajuan negara.

Ahli DAP itu turut menggesa pengundi supaya tidak terjerat dengan retorik perpecahan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya digunakan secara berterusan untuk meraih sokongan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semalam di Kempas, Johor yang menggesa pengundi menafikan majoriti dua pertiga Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat.

“Kita nampak PN memainkan retorik perpecahan lagi, apabila Muhyiddin Yassin mengunakan elemen perkauman untuk menang pilihan raya kecil.

“Ini jelas menunjukkan yang PN akan berbuat apa sahaja untuk meraih undi, walaupun ia mengancam perpaduan nasional. Ini bahaya untuk negara,” tulis Santiago di X, hari ini.

Santiago berkata Kerajaan Perpaduan Persekutuan perlu menang kerusi Parlimen Pulai, yang dipegang Allahyarham Salahuddin Ayub, timbalan presiden Amanah, bagi terus memegang dua pertiga majoriti.

“Ini supaya kerajaan boleh meneruskan dasar progresifnya bertujuan mengukuhkan ekonomi dan merangsang keyakinan pelaburan,” katanya.

Tambahnya lagi, Suhaizan Kayat, yang bertanding sebagai calon PH bukanlah orang asing di Pulai.

“Beliau adalah setiausaha politik Allahyarham Salahuddin dan dipertanggungjawabkan menjaga kawasan itu.

“Suhaizan juga kenal benar dengan konsep Rahmah dan akan terus berbakti kepada rakyat,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Salahuddin menang Parlimen Pulai dengan majoriti undi 33,174 dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan calon BN Nur Jazlan Mohamed dan calon PN Loh Kah Yong.

Di DUN Simpang Jeram pula, beliau menang pertandingan empat penjuru dengan majoriti undi 2,399.

Kedua-dua kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRK kali melibatkan calon PH, PN dan Bebas. – 3 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen