Kumpulan peguam desak Putrajaya henti sekat media guna alasan ‘lindungi kebenaran’


Cubaan kerajaan untuk mengawal media menggunakan alasan mengekang berita palsu atau tidak tepat adalah petanda pemerintahan diktaktor, kata Lawyers for Liberty. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2023.

KERAJAAN Perpaduan tidak sepatutnya mengekang kuasa media atas nama melindungi “kebenaran” dan keharmonian negara, kata Lawyers for Liberty, hari ini.

Pengarah Kumpulan itu Zaid Malek berkata menapis ucapan dan berita atas alasan “berita palsu” akan mengekang wacana isu berkepentingan awam kerana kebimbangan pendakwaan.

“Membenarkan kerajaan untuk menentukan ‘kebenaran’ aan membenarkan mereka melenyapkan sebarang berita yang didapati tidak memihak kepada mereka secara politik.

“Cubaan kerajaan untuk mengawal media menggunakan alasan mengekang berita palsu atau tidak tepat adalah petanda pemerintahan diktaktor.

“Adakah hanya berita dibenarkan kerajaan akan sampai kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempertahankan tindakannya yang meragukan menyekat beberapa portal berita.

Pada Jumaat, SKMM berkata ia bertindak menyekat portal berita tertentu yang dakwanya bertanggungjawab melakukan pelaporan tidak tepat, maklumat salah dan kandungan tidak tepat.

Zaid berkata alasan diberikan SKMM adalah serupa dengan alasan diberikan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil apabila ditanya sebab beberapa laman web berita disekat kerajaan. – 3 September, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen