PENGERUSI Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengesa pengundi Pulai untuk tidak mengundi calon Pakatan Harapan Suhaizan Kayat.
Katanya jatuh hukum “haram” untuk memberikan undi kepada Suhaizan.
“Jangan berikan satu undi pun kepada Suhaizan, bekas speaker (Johor). Saya bagi hukum haram.
“Esok ada yang cabar saya ini, ikut fatwa mana,” kata bekas perdana menteri itu dipetik dalam rakaman video diterbitkan Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian pada ceramah PN di Taman Kempas, Johor Baru, malam tadi.
Dua pilihan raya kecil diadakan dengan hari mengundi pada 9 September untuk kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub daripada PH.
Muhyiddin juga mendakwa yang jika PH kekal di Parlimen Pulai, ia akan terus mengekalkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat dan akan menambah kerusi Parlimen melalui persempadanan semula untuk kepentingan mereka.
“Di mana kawasan yang dia nak tambah? Mungkin di kawasan-kawasan bandaran yang mana terdapat kepadatan penduduk.
“Ini bukan soal isu perkauman, ini realiti geopolitik yang sudah ada di sini, dan juga di tempat-tempat lain. Maka, apakah pihak kerajaan yang ada hari ini akan mengubah kawasan sempadan?
“Ini diistilahkan sebagai ‘gerrymandering’ iaitu kawasan yang orang tak sokong dia, dia keluarkan masuk ke tempat lain, (dan) kumpulkan ke satu tempat. Dia hanya ambil orang-orang yang sokong, dan ditambah kerusi-kerusi baharu.
“Kalau ikutkan keadaan sekarang ini majoriti kawasan-kawasan bandar diduduki oleh orang Cina. Saya tak salahkan mereka (pengundi Cina) tetapi sebahagian besar ikut rekod yang lepas, kawasan-kawasan bandar kita kalah (dalam pilihan raya),” katanya.
Muhyiddin turut memberi amaran yang jika ia berlaku, ia akan memberi lebih banyak kuasa kepada parti lain termasuk DAP pada pilihan raya umum akan datang.
Di Pulai, calon PH Suhaizan berdepan cabaran calon PN Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.
Pulai adalah kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 44.18% daripada keseluruhan 166,653 pengundi berdaftar diikuti pengundi Cina (40.46%), India (12.31%) dan lain-lain (3.06%).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas, Salahudin mempertahankan kerusi Parlime Pulai dengan undi 64,900 dan majoriti 33,174 sekaligus menewaskan calon Barisan Nasional Nur Jazlan Mohamed (31,726) dan calon Perikatan-Gerakan Loh Kah Yong (20,677). – 3 September, 2023.
Komen