Perikatan ancam keharmonian negara, kata Amirudin


Perikatan Nasional gagal wujudkan wacana membina sebaliknya guna kebencian perkauman dan agama sebagai senjata politik mereka, kata Naib Presiden PKR Amirudin Shari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2023.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari mengecam Perikatan Nasional kerana gagal mewujudkan sebarang wacana polisi membina bersama kerajaan demi kepentingan negara.

Amirudin yang juga naib presiden PKR berkata blok pembangkang Persekutuan itu sebaliknya memutuskan untuk memanipulasi sentimen perkauman dan agama sebagai senjata politik mereka.

Tambahnya, ini adalah sesuatu yang membahayakan keharmonian negara.

“PN sebelum ini dijemput untuk bersama Kerajaan Perpaduan, tetapi mereka menolak.

“Sekiranya tidak mahu, mereka boleh terus menjadi suara pembangkang, namun bukan kerja mereka untuk merosakkan negara dengan menyemai ketaksuban dan politik yang terlalu ekstrimis,” katanya dipetik portal berita Scoop hari ini.

Menurutnya juga, PN juga semakin galak menggunakan taktik agresif untuk merampas kuasa.

“Sifat seperti ini boleh merosakkan keharmonian negara yang sudah dibentuk puluhan tahun dan sekarang ini, kita tidak boleh terus melayan (sentimen dimainkan oleh PN), lebih-lebih lagi ketika kita ingin memulihkan negara secara bersama-sama (dengan pembangkang),” katanya.

Beliau berada di Johor Bharu malam tadi untuk menyertai kempen menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dijadualkan pada 9 September. – 3 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen