HAMPIR 3,000 orang dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi di timur Taiwan sebelum Taufan Haikui melanda dan pihak berkuasa bergegas mempersiapkan kawasan sebelum dilanda ribut tropika pertama dalam tempoh empat tahun.
Haikui- yang sudah menyebabkan hujan lebat pada pagi Ahad- yang mempunyai kelajuan sehingga 140 km sejam dan dijangka melanda bandar Taitung di timur Taiwan pada jam 5 petang.
Sekolah dan pejabat di kawasan selatan dan timur kepulauan itu sudah ditutup dan lebih 200 penerbangan domestik dibatalkan.
Taufan itu kini berada sekitar 180 km di timur Taiwan sebelum jam 9 pagi ini, kata Biro Kajian Cuaca Pusat Taiwan pada satu sidang media.
“Ia sudah bertambah kuat sejak semalam,” kata Timbalan Pengarah Fong Chin-tzu.
“Ia dijangka memberi ancaman besar kepada kebanyakan kawasan di Taiwan dengan angin kuat, hujan lebat dan ombak bergelora.”
Tambahnya ribut itu kemudiannya akan beralih ke Selat Taiwan pada Isnin.
“Kita mesti bersedia berdepan angin kuat dan hujan lebat dibawa taufan ini,” kata Fong.
Kementerian Dalam Negeri berkata pihak berkuasa sudah memindahkan lebih 2,800 orang dari tujuh bandar di Taiwan sebagai langkah berjaga-jaga, majoritinya adalah penduduk kawasan pergunungan Hualien, yang berjiran dengan Taitung.
Jalan raya Hualien sunyi sepi pada pagi Ahad, dilanda hujan lebat yang turun sejak malam sebelumnya.
Tentera sudah mengerahkan anggota dan peralatannya ke seluruh kawasan dijangka dilanda Haikui.
Taufan besar terakhir melanda Taiwan adalah Taufan Bailu pada 2019 yang menyebabkan satu kematian.
Haiku dijangka tidak seburuk Saola yang melintasi Taiwan tetapi menyebabkan kerosakan besar di Hong Kong dan selatan China sebelum beransur surut. – AFP, 3 September, 2023.
Komen