Pembinaan landasan kereta api Iran-Iraq bermula


Landasan kereta api sejauh 32 kilometer itu yang menghubungkan Iraq dan Iran dijangka siap antara 18 hingga 24 bulan. – Gambar AFP, 3 September, 2023.

PERDANA menteri Iraq pada Sabtu merasmikan kerja pembinaan landasan kereta api pertama yang menghubungkan negara itu dengan jirannya, Iran, yang juga rakan dagang dan politik utama.

Projek Basra-Chalamja akan menghubungkan bandar pelabuhan utama Basra di Selatan Iraq kepada rangkaian kereta api menyeluruh Iran menerusi lintasan sempadan Chalamja, kata pegawai Kementerian Pengangkutan kepada AFP.

Dianggarkan projek itu akan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan.

Matlamatnya adalah untuk menjadi pengangkutan kepada pelancong dari Republik Islam Iran dan negara Asia Tengah yang lain ke bandar suci Syiah, kata Perdana Menteri Mohammed Shia al-Sudani dalam ucapannya.

Beliau menjelaskan yang perbincangan projek itu berjalan selama bertahun-tahun sebelum perjanjian dicapai pada 2021.

Pada majlis itu, Sudani meletakkan batu asas projek bersama-sama Naib Presiden I Iran Mohammad Mokhber.

Sudani turut berterima kasih kepada Tehran kerana merancang dan melaksana operasi di sempadan bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan termasuk pembinaan jambatan di Sungai Shatt al-Arab, tempat di mana Sungai Tigris dan Euphrates bertemu sebelum memasuki Teluk Parsi.

Iran dan Iraq pernah berperang selama lapan tahun pada 1980an selepas Saddam Hussein menceroboh jirannya kerana Revolusi Islam Iran pada 1979.

Mokhber turut memuji “projek strategik” yang menurutnya akan disiapkan dalam dua tahun, lapor media Iran.

Separuh daripada landasan kereta api sepanjang 32 kilometer itu akan dibina di wilayah Iran, lapor IRNA lagi.

Iraq yang kaya minyak tetapi sering terheret dalam kancah perang dan dibelenggu korupsi terjejas kerana infrastruktur lusuh termasuk lebuh raya dan jalan raya yang kebanyakannya rosak teruk.

Kerajaan Sudani sedang berusaha menjalankan kerjasama dengan negara-negara jirannya di rantau itu.

Pada Mei, Baghdad mengumumkan projek bernilai AS$17 bilion dikenali sebagai “Laluan Pembangunan” untuk jalan raya dan landasan kereta api sejauh 1,200 kilometer dari utara Iraq ke Turkiye dan seterusnya selatan Teluk Parsi. – AFP, 3 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen