Pilihan raya Indonesia: Anies, Cak Imin diumum calon presiden, naib


Pencalonan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar disahkan hari ini. – Gambar Facebook, 2 September, 2023.

PILIHAN raya presiden Indonesia semakin rancak apabila Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar masing-masing diisytihar calon presiden dan naib presiden bagi penggal 2024-2029.

Pengumuman itu dibuat semasa majlis pengisytiharan oleh Pengerusi Parti Nasdem Surya Paloh di Surabaya, Jawa Timur dan disiarkan secara langsung di televisyen tempatan.

Anies, 54 adalah bekas gabenor Jakarta dari 2017 hingga 2022 manakala Muhaimin juga dikenali sebagai Cak Imin adalah presiden Parti Kebangkitan Bangsa.

Menurut Surya, kedua-dua calon memiliki kualiti kepimpinan yang boleh memberi perspektif baharu dalam menangani cabaran masyarakat pada masa hadapan.

Kedua-duanya akan didaftarkan secara rasmi sebaik pendaftaran Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024 dibuka dari 19 Oktober hingga 25 November.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Anies sebagai calon presiden dan Muhaimin sebagai calon timbalan presiden,” katanya pada majlis itu.

Anies menyertai senarai calon presiden yang lain termasuk Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo dan Menteri Pertahanan Prabowo Subianto. – Bernama, 2 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen