DUA wanita dan seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di KM50.1 Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Bandar Penawar dekat Kota Tinggi, Johor, tengah hari tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar Izwani Abd Hamid berkata kejadian pada jam 1.43 tengah hari itu mengorbankan tiga mangsa yang menaiki Perodua Bezza.
“Semua yang meninggal dunia adalah Nurul Afrahrina Sazli, 19, Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19 dan Iqbal Faiz Mat Sah, 20.
“Seorang lagi mangsa yang menaiki kenderaan sama, dikenali sebagai Izznur Harith, 19 cedera parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, kesemuanya berusia 11 hingga 51 tahun yang menaiki kereta Toyota Innova hanya mengalami cedera ringan manakala seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu kereta Volkswagen, selamat.
“Seramai enam anggota dari BBP Bandar Penawar dan sembilan dari BBP Pasir Gudang dengan dua jentera digegaskan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.
“Sebaik tiba, ada mangsa yang tersepit, dibantu oleh pasukan keluaran operasi untuk dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Beliau berkata, semua mayat dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut manakala operasi berkenaan ditamatkan pada jam 3.50 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora mengesahkan mangsa yang terkorban merupakan pelajar sebuah kolej di Batu Pahat.
Beliau berkata kemalangan itu berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari Desaru ke Senai cuba memotong kenderaan di hadapannya lalu bergesel dengan kereta jenis Volkswagen Beetle dan bertembung dengan kereta Toyota Innova. – Bernama, 2 September, 2023.
Komen