AGENSI angkasa lepas India pada Sabtu melancarkan kapal angkasa Aditya-L1 untuk mengkaji matahari.
Aditya-L1 seberat 1,480.7 kilogram akan berada kira-kira 1.5 juta kilometer dari bumi, menghala ke arah matahari iaitu kira-kira 1% daripada jarak bumi-matahari, menurut Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO).
Ia berlepas menggunakan roket dari pusat pelancaran di pulau Sriharikota di luar pantai tenggara negara itu.
“Matahari adalah sfera gas gergasi dan Aditya-L1 akan mengkaji atmosfera luar matahari,” menurut agensi angkasa lepas, sambil menjelaskan kapal angkasa itu tidak akan mendarat di matahari mahupun mendekatinya.
Perkataan Aditya bermaksud matahari dalam bahasa Hindi.
Misi solar pertama ISRO dilancarkan beberapa hari selepas India muncul negara keempat berjaya mendaratkan kapal angkasa lepas di permukaan bulan selepas Russia, Amerika Syarikat dan China.
Agensi angkasa lepas menjelaskan ia akan mengkaji aktiviti suria dan kesan matahari terhadap cuaca angkasa.
Selepas mengembara selama 125 hari, kapal angkasa itu, yang membawa tujuh muatan dijangka berada dalam orbit halo di sekitar “titik Lagrangian L1”.
Titik itu dianggap paling hampir dengan matahari dan kapal angkasa dijangka berlegar lebih lama bagi mengimbangi daya graviti dan penggunaan bahan api. – Bernama, 2 September, 2023.
Komen