Sambutan Hari Malaysia di Sarawak 16 Sept


Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini akan diadakan di Kuching, Sarawak, menurut jawatankuasa media dan publisiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2023.

SAMBUTAN Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada 16 September ini.

Menurut Jawatankuasa Media dan Publisiti (JKMP) sambutan itu, Sarawak diberikan kepercayaan untuk menganjurkan sambutan tahun ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 24 Jun 2020 yang antara lain bersetuju sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Majlis dijadual bermula dengan acara prapersembahan pada jam 7 malam dan acara rasmi bermula pada jam 8.30 malam dengan ketibaan Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nassar.

Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan isteri Juma’ani Tuanku Bujang serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan isteri Juliah Salang.

Menurut JKMP, sambutan Hari Malaysia 2023 peringkat kebangsaan itu akan menggunakan tema yang sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Bagaimanapun, tambahan cogan kata dalam Bahasa Iban iaitu “Segulai Sejalai”, yang membawa maksud “berjalan seiringan”, akan turut digunakan pada sambutan itu nanti.

“Segulai” membawa maksud bersatu dan bekerjasama di samping berpegang kepada pandangan yang sama manakala “Sejalai” pula membawa makna berjalan atau melangkah bersama ke hadapan.

“Cogan kata ini amat bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama utuh dalam kalangan rakyat negara ini. Ia menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia Madani,” menurut JKMP.

Antara pengisian menarik yang dijadualkan pada sambutan itu adalah upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia, perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Konsert Hari Malaysia.

Menurut JKMP, siaran langsung bagi sambutan itu akan dilaksanakan oleh RTM dan akan disambung siar oleh semua stesen televisyen penyiar utama iaitu TV3, Astro Awani, TV AlHijrah, Bernama TV, TV Sarawak (TVS) dan SUKE TV. – Bernama, 1 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen