DAP akan menjalankan gerak kerja secara lebih progresif dalam meyakinkan lebih ramai pengundi untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, 9 September ini.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata ini kerana, pihaknya bimbang sekiranya peratusan keluar mengundi rendah, memandangkan ketika ini ramai pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan yang bekerja di luar kawasan.
Ia sekali gus dikhuatiri akan menjejaskan peluang buat calon PH memperoleh kemenangan pada PRK berkenaan dan mengurangkan keabsahan kepada wakil rakyat yang akan dipilih kelak.
“Kita tahu ramai pengundi ini bekerja di luar, termasuk di Singapura. Cabaran yang kita kenal pasti adalah pengundi luar dan menghubungi mereka untuk pulang mengundi.
“Kita juga kena yakinkan ibu bapa dan saudara mara, supaya mereka ingatkan tanggungjawab kepada ahli keluarga masing-masing untuk mengundi,” katanya selepas menyampaikan ucapan pada ceramah Pakatan Harapan di Wisma DAP Muar malam ini. – Bernama, 1 September, 2023.
Komen