Suruhanjaya Eropah lulus vaksin Covid-19 versi terkini


Vaksin Comirnaty XBB.1.5 diubah buat kali ketiga untuk bertindak balas terhadap varian baharu Covid-19. – Gambar fail EPA, 1 September, 2023.

SURUHANJAYA Eropah berkata ia sudah meluluskan versi terkini vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh BioNTech-Pfizer, lapor agensi berita Jerman DPA.

Vaksin Comirnaty XBB.1.5 diubah buat kali ketiga untuk bertindak balas terhadap varian baharu Covid-19 dan dibenarkan untuk kegunaan orang dewasa, kanak-kanak dan bayi berusia 6 bulan ke atas, kata suruhanjaya itu dalam kenyataan akhbar pada Jumaat.

“Saya mengalu-alukan kelulusan yang tepat pada masanya yang akan menyasarkan varian baharu muncul dan mudah merebak,” kata Pesuruhjaya Kesihatan EU Stella Kyriakides.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) berkata, dalam kemas kini terbaharunya kes Covid-19 di EU semakin meningkat, tetapi kadar jangkitan kekal pada tahap rendah.

“Covid-19 akan beredar seiring dengan influenza bermusim semasa musim luruh dan musim sejuk yang akan datang dan kita perlu bersedia,” kata Kyriakides.

Suruhanjaya itu berkata, kelulusan berkenaan membolehkan negara EU membuat persediaan lebih baik bagi kempen vaksinasi akan datang.

BioNTech yang berpangkalan di Jerman mendapat perhatian kerana membangunkan vaksin melawan Covid-19 berdasarkan teknologi mRNA.

Sepanjang 2021, BioNTech dan rakan kongsi Pfizer membekalkan lebih 2.6 bilion dos vaksin dan angka itu menurun kepada sekitar 2 bilion tahun lalu. – Bernama, 1 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen