JENTERA kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diminta memberi penerangan jelas kepada pengundi tiada logo parti itu tertera dalam kertas undi pada 9 September ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Ahmad Maslan berkata sebaliknya calon yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN akan menggunakan logo PH ‘Pakatan Harapan’.
Ahmad berkata, penjelasan itu penting untuk mengelakkan pengundi di kedua-dua kawasan itu keliru dan tidak tersalah pilih calon parti lain.
“Kita harapkan jentera BN memaklumkan dan menjelaskan kedudukan calon mewakili kerajaan perpaduan dalam kertas undi yang menggunakan logo PH, lebih-lebih lagi kepada pengundi veteran atau pengundi sedia ada yang sudah biasa melihat logo BN setiap kali pilihan raya.
“Kali ini kita guna logo PH, jadi perkara itu agak mencabar untuk kita perjelas, namun boleh dilakukan,” katanya selepas menyantuni penduduk di Masjid Kampung Sungai Danga di Johor Bahru, hari ini.
Selain itu, setakat hari ketujuh kempen PRK, Ahmad berkata berdasarkan respons yang diterima ketika bertemu rakyat, beliau yakin calon PH di Pulai, Suhaizan Kaiat manakala Nazri Abdul Rahman di Simpang Jeram mampu mempertahankan kemenangan PH di kedua-dua kerusi itu.
PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru di kerusi masing-masing, membabitkan pertembungan antara calon PH dengan Perikatan Nasional dan calon Bebas.
PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September. – Bernama, 1 September, 2023.
Komen