PM mahu peranan Jabatan Audit Negara diperkukuh


Anwar mahu semua kementerian meneliti LKAN yang dikeluarkan tahun ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 1 September, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mahu bidang kuasa Jabatan Audit Negara (JAN) diperkukuh dan diperluaskan supaya dapat merangkumi peranan institusi hisbah atau ombudsman.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tanggungjawab tambahan diberikan kepada JAN supaya kementerian dan jabatan di peringkat Persekutuan serta negeri memandang serius setiap teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Ini masih dalam perbincangan tapi yang penting kita mahu perluas bidang tugas JAN,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan bersama pengurusan dan warga JAN di Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata peranan audit itu perlu ‘muhtasim’ (disegani) bukan sahaja audit dari segi kewangan tetapi audit dari segi pematuhan kepada peraturan dan prinsip bagi mengelak daripada kecurangan sama ada dalam bentuk rasuah, ketirisan atau kecuaian.

Beliau menegaskan pengabaian terhadap budaya tidak mengendahkan teguran LKAN perlu dinoktahkan terutamanya teguran terhadap salah guna kuasa, kecuaian atau penipuan.

Katanya ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan pada 1991 hingga 1998, beliau mengangkat LKAN sebagai suatu dokumen yang penting dan ketika menjadi ketua pembangkang pula, beliau meneliti setiap helaian LKAN untuk memberi teguran keras kepada kerajaan.

Mulai sekarang, kata Anwar setiap teguran itu mesti dijawab sekiranya ia berlaku.

“Sebab itu tahun ini, sebaik LKAN dibentangkan oleh ketua audit negara, semua menteri termasuk ketua setiausaha dan ketua pengarah masing-masing diwajibkan untuk meneliti laporan ini dan memberi jawapan atau tindakan yang memuaskan,” katanya.

Anwar berkata sekiranya mana-mana kementerian atau jabatan tidak mengambil tindakan susulan secara serius ke atas teguran dalam LKAN, tindakan seumpama itu akan dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Kewangan (MoF) dan agensi penguat kuasa yang berkaitan.

Anwar juga mahu MoF mengetuai suatu tugasan untuk meneliti semua laporan LKAN dan memastikan setiap kementerian dan jabatan patuh terhadap teguran.

“Kalau tidak laporan (LKAN) sampai tahun depan (teguran) akan diulang lagi,” katanya. – Bernama, 1 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen