Hukuman penjara Thaksin dikurangkan kepada setahun


Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pulang daripada hidup dalam buangan sendiri pada 22 Ogos lalu. – Gambar fail EPA, 1 September, 2023.

RAJA Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn berkenan mengurangkan hukuman penjara lapan tahun bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra kepada setahun, menurut warta diraja pada Jumaat.

Pengampunan itu diumumkan sehari selepas Thaksin mengemukakan permohonan.

Menurut warta diraja, Thaksin seorang perdana menteri yang berjasa kepada negara, rakyat dan setia kepada institusi beraja.

Thaksin juga menghormati proses undang-undang, mengakui kesalahannya dan menerima keputusan mahkamah.

“Beliau (Thaksin) sudah tua dan mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan pakar perubatan.

“Baginda berkenan memberikan pengampunan dan mengurangkan hukuman kepada setahun supaya beliau (Thaksin) dapat menggunakan pengetahuan dan pengalaman untuk membantu negara, masyarakat dan rakyat,” menurut warta diraja itu.

Thaksin, 74, kembali ke Thailand pada 22 Ogos selepas 15 tahun hidup dalam buangan sendiri.

Pada hari yang sama, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun kepadanya atas tuduhan rasuah.

Thaksin dimasukkan ke Hospital Umum Polis kerana masalah kesihatan beberapa jam selepas ditahan di Penjara Reman Bangkok.

Awal minggu ini, kumpulan anti-Thaksin yang menentang percubaan Thaksin untuk mendapatkan pengampunan diraja membuat aduan kepada Jabatan Pemulihan, dengan alasan tidak sepatutnya ada pengampunan bagi kes rasuah kerana mereka merosakkan tadbir urus dan menjejaskan reputasi negara. – Bernama, 1 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen