EMP Pulau Silikon dapat kelulusan JAS, kata Chow


Kata Chow, kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) diperoleh 21 Julai lepas. – Gambar Facebook, 1 September, 2023.

PELAN Pengurusan Alam Sekitar (EMP) Projek Pulau Silikon dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) sudah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 21 Julai lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini adalah susulan kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS menerusi surat bertarikh 11 April lepas.

“Bagi pihak kerajaan negeri, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada JAS Pulau Pinang atas penilaian teliti yang diberikan dalam menilai serta meluluskan EMP dan keputusan tersebut adalah hasil kerjasama dan usaha bersama untuk memastikan pembangunan Pulau Silikon mematuhi piawai alam sekitar dan keselamatan komuniti setempat.

“Terima kasih juga ditujukan kepada semua pihak yang memberikan sumbangan pandangan dalam merangka EMP itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dengan kelulusan daripada semua agensi terlibat itu, kerja-kerja persediaan awal tambakan bagi projek tersebut dimulakan hari ini.

Chow berkata selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memberi bayaran ex-gratia kepada komuniti nelayan yang terkesan oleh projek berkenaan, 75 peratus daripada jumlah bayaran itu mula dikreditkan hari ini manakala bakinya pada awal tahun 2024.

Katanya, bayaran akan dibuat secara berfasa dengan mengambil kira skop projek PSI yang dikurangkan kepada sebuah pulau berbanding perancangan awal sebelum ini.

“Pembangunan projek Pulau Silikon direka bentuk berdasarkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan ia dijangka menjadi pusat teknologi terkemuka di rantau ini dan membuka peluang pekerjaan baharu dengan menyuntik manfaat ekonomi berkekalan kepada lokaliti setempat,” katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan, sebanyak 600 peluang pekerjaan berasaskan laut dan darat akan ditawarkan dalam tempoh 18 bulan akan datang dengan keutamaan kepada nelayan dan penduduk tempatan. – Bernama, 1 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen