China lancar 4 pesawat angkasa lepas tahun depan


Kapal angkasa Tianzhou-2 dilancarkan dua tahun lalu menggambarkan kehebatan industri angkasa lepas China. – Gambar Weibo, 1 September, 2023.

PEJABAT projek angkasa lepas pembawa angkasawan China pada Khamis memaklumkan pesawat angkasa lepas kargo Tianzhou-7, Tianzhou-8, serta pesawat angkasa lepas pembawa angkasawan Shenzhou-18 dan Shenzhou-19 akan dilancarkan tahun depan.

Menurut agenda tugasan penerbangan tahunan 2024, Tianzhou-7 dan Tianzhou-8 akan dilancarkan di pusat pelancaran angkasa lepas Wenchang, Hainan untuk membawa barang keperluan angkasawan dan barang keperluan tugasan aktiviti luar kenderaan (EVA).

Tianzhou-7 dan Tianzhou-8 juga akan membawa kelengkapan dan bahan pendorong untuk memastikan keselamatan operasi, pelbagai muatan dan sampel bagi kegunaan ke angkasa lepas, selain turut akan membawa pulang sampah yang terapung di laluan orbit.

Sementara itu, kapal pembawa angkasawan Shenzhou-18 dan Shenzhou-19 yang akan dilancarkan di pusat pelancaran satelit Jiuquan pula akan menghantar dua kru yang masing-masing terdiri daripada tiga orang angkasawan.

Tugasan utama mereka termasuk melakukan EVA, menjalankan eksperimen sains dan ujian teknologi angkasa lepas serta aktiviti penting lain seperti pendidikan.

Pada hari sama, pejabat itu turut mengumumkan untuk mengumpul secara terbuka empat logo misi penerbangan hingga 30 September akan datang.

Individu atau pertubuhan dialu-alukan menyertai kempen itu dan mereka yang terpilih akan dipelawa ke tapak pelancaran untuk menyaksikan misi pelancaran pesawat angkasa lepas. – Bernama, 1 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen