SEKOLAH di England yang menggunakan konkrit autoklaf berudara (RAAC) di bangunan masing-masing diminta segera menutup bangunan itu kerana risiko terdedah kepada runtuh, kata Jabatan Pendidikan (DfE) semalam.
Menurut DfE terdapat 156 sekolah di England yang dibina antara 1950-an dan 1990-an menggunakan RAAC, sejenis konkrit ringan untuk bahagian bumbung, lantai dan dinding.
Bahan itu dianggap kurang tahan lama berbanding konkrit tradisional dan jurutera memberi amaran bahawa bahan itu berisiko retak, pecah dan runtuh, lapor Xinhua.
Setiausaha Negara Britain bagi Pendidikan Gillian Keegan berkata sebahagian besar sekolah tidak terjejas dan kerajaaan menyediakan sokongan untuk memastikan sebarang gangguan terhadap pendidikan diminimumkan.
Persatuan Guru Besar Kebangsaan berkata kerajaan bertindak betul dengan mengutamakan keselamatan murid dan kakitangan, namun masanya kurang sesuai memandangkan pelajar akan kembali ke sekolah selepas cuti musim panas tamat minggu depan. – Bernama, 1 September, 2023.
Komen