Pulau Pinang mulakan kerja persediaan di Pulau Silikon, kata Chow


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri itu akan memulakan semua kerja persediaan untuk projek Pulau Silikon hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2023.

PULAU Pinang akan memulakan semua kerja persediaan untuk projek Pulau Silikon Pulau Pinang hari ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Katanya, ia akan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan selesai.

“Dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September 2023 dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.

“Keputusan tersebut adalah hasil kerjasama dan usaha bersama untuk memastikan bahawa pembangunan ‘Silicon Island’ mematuhi piawai alam sekitar dan keselamatan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memberi kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk projek itu pada 21 Julai.

Ini susulan kelulusan awal Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang diluluskan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April, kata laporan itu.

Kerajaan negeri sebelum ini memutuskan untuk menghapuskan dua daripada tiga pulau projek penambakan PSI.

Pulau yang dinamakan Pulau Silikon berkeluasan kira-kira 520 hektar. – 1 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen