KAWASAN yang dilindungi program Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) hanya meliputi kurang daripada 1% permukaan Bumi, namun menjadi habitat kepada 20% spesies yang banyak menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, menurut kajian baharu.
Dalam satu kenyataan bersama dengan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), Unesco berkata lebih 75,000 spesies tumbuhan dan lebih 30,000 spesies mamalia, burung, ikan, reptilia dan amfibia mendiami di tapak Warisan Dunia, yang dilindungi di peringkat antarabangsa menerusi Konvensyen Warisan Dunia, lapor Xinhua.
“Tapak ini dianggarkan melindungi lebih 20,000 spesies terancam, termasuk sehingga satu pertiga daripada semua gajah, harimau dan panda, dan sekurang-kurangnya satu per sepuluh daripada beruk besar, singa dan badak sumbu,” kata mereka dalam laporan penilaian itu.
Tapak Warisan Dunia juga telah menjadi barisan pertahanan terakhir bagi sesetengah spesies yang di ambang kepupusan.
Organisasi tersebut menggalakkan negara anggota supaya mengutamakan tapak warisan dunia dalam strategi dan pelan tindakan kepalbagaian bio di negara masing-masing, kerana ia merupakan kunci untuk menggerakkan tindakan dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (GBF).
“Sebanyak 1,157 tapak bukan sahaja terkenal dari segi sejarah dan budaya, bahkan penting untuk memulihara kepelbagaian hidupan di Bumi, mengekalkan perkhidmatan ekosistem penting dan menangani gangguan iklim,” kata Ketua Pengarah Unesco Audrey Azoulay. – Bernama, 1 September, 2023.
Komen