48 maut dalam serbuan ke atas perhimpunan anti-PBB di Congo


Rabu lalu tentera Congo mematahkan demonstrasi menentang pasukan pengaman PBB oleh kumpulan mazhab agama di bandar Goma. – Gambar EPA, 1 September, 2023.

SEKURANG-kurangnya 48 orang terbunuh dalam serbuan terhadap penunjuk perasaan anti-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di timur DR Congo, menurut sumber dan data tentera pada Khamis.

Rabu lalu tentera Congo mematahkan demonstrasi menentang pasukan pengaman PBB oleh kumpulan mazhab agama di bandar Goma.

Kira-kira sepuluh orang dilaporkan terbunuh, termasuk seorang anggota polis selepas, tentera memasuki stesen radio dan rumah ibadat, menurut sumber tempatan. 

Bagaimanapun, menurut dokumen yang dikeluarkan dan disahkan oleh tentera seramai 48 orang terbunuh manakala 75 lagi cedera dalam tindakan ganas itu.

Dokumen itu juga menyatakan tentera merampas sejumlah senjata dan menahan 168 orang, termasuk ketua mazhab Kristian-animisme dipanggil “Natural Judaic and Messianic Faith towards the Nations”.

Kumpulan aktivis prodemokrasi Congo, LUCHA juga mendakwa kira-kira 50 penunjuk perasaan terbunuh.

Kenyataan kerajaan pada Khamis menyebut jumlah yang maut adalah 43 orang, manakala 56 lagi cedera dan 158 orang ditahan termsuk seorang ketua mazhab.

Dua klip video yang tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan askar Congo mencampak mayat berlumuran darah di belakang kenderaan tentera. – AFP, 1 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen