Bekas penyanyi terkenal Hong Kong dihukum penjara hasut benci kerajaan


BEKAS penyanyi terkenal Hong Kong Tommy Yuen, kini aktivis demokrasi, dijatuhi hukuman penjara lebih dua tahun pada Khamis selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghasut dan pengubahan wang haram.

Yuen, yang pernah menganggotai kumpulan popular E-Kids, adalah penyokong gerakan demokrasi Hong Kong pada 2019 sebelum Beijing mengambil tindakan keras terhadap pergerakan itu dan mengenakan undang-undang keselamatan negara.

Yuen menyebabkan kemudaratan kepada masyarakat kerana menggunakan populariti beliau untuk menyebarkan mesej antikerajaan, dan dikenakan hukuman penjara 26 bulan, kata hakim.

Penyanyi berusia 43 tahun itu ditahan sejak Februari tahun lalu dan mengaku bersalah bulan lepas.

Hakim Ernest Lin ketika membacakan keputusan berkata Yuen menggunakan akaun media sosialnya untuk membangkitkan sentimen antikerajaan, selain menyalahguna derma hasil sumbangan orang ramai yang bertujuan untuk membantu mangsa rusuhan.

Tertuduh juga didakwa bekerjasama dengan isterinya mereka cerita tentang penunjuk perasaan wanita berusia 19 tahun menghadapi tuduhan merusuh untuk meraih simpati dan sumbangan orang ramai.

Lebih 30 orang telah didakwa atas tuduhan menghasut sejak 2020, kebanyakannya bukan individu berprofil tinggi.

Kesalahan di bawah Akta Hasutan Hong Kong meliputi perbuatan, ucapan atau penerbitan yang dianggap mempunyai niat menghasut, termasuk menimbulkan ketidakpuasan hati, menggalakkan niat jahat dan menghasut keganasan.

Kesalahan ini boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun. 

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyuarakan kebimbangan terhadap tafsiran yang terlalu luas berkaitan kesalahan hasutan dan undang-undang keselamatan yang dikenakan Beijing.

Sebelum ini, Hong Kong mempertahankan bahawa undang-undang itu perlu untuk memulihkan ketenteraman dan kestabilan selepas pergolakan pada 2019. – AFP, 1 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen