PASUKAN pakar bom dipanggil ke lokasi kejadian selepas sebuah bandar di Sweden digegarkan oleh empat letupan dalam tempoh sejam.
Selepas jam 1 pagi waktu tempatan, polis Gothenburg menerima laporan mengenai dua letupan di alamat berasingan.
Polis memaklumkan kedua-dua lokasi segera ditutup dan siasatan teknikal dijalankan.
“Tiada laporan mengenai orang yang cedera, hanya kerosakan bangunan,” katanya.
Sejam kemudian dua lagi letupan dilaporkan berlaku selang beberapa minit di kawasan Norsborg di pinggir selatan Stockholm dan di Nykoping, kira-kira 100 kilometer ke selatan ibu negara.
Polis memberitahu, tiada sesiapa yang cedera di kedua-dua lokasi kejadian. Keempat-empat letupan berlaku di bangunan kediaman.
Sweden sebelum ini bergelut untuk mengekang kejadian tembakan dan pengeboman dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini ketika kumpulan pengganas menyelesaikan masalah yang membabitkan isu perdagangan dadah.
Polis Gothenburg memberitahu AFP masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai motif dua letupan di bandar itu.
Berdasarkan data polis Sweden, negara itu merekodkan sebanyak 90 letupan dan 101 lagi kes percubaan atau persediaan untuk mengebom, manakala sebanyak 109 letupan direkodkan sehingga 15 Ogos lalu.
Polis mendakwa kejadian pengeboman bertujuan untuk menakutkan sasaran, manakala tembakan digunakan untuk membunuh dan menghapuskan musuh. – AFP, 31 Ogos, 2023.
Komen