Malaysia hantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan wilayah baharu, kata Zambry


Semalam Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan dalam Edisi Peta Standard China 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2023.

MALAYSIA akan menghantar bantahan rasmi kepada China berhubung tuntutan terbaru kuasa besar itu di Laut China Selatan yang merangkumi kawasan maritim Malaysia, kata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir hari ini.

Beliau berkata tindakan tersebut merupakan langkah susulan yang diambil kerajaan dalam isu berkenaan.

“Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan (semalam) dan amalan kita, kita akan buat nota bantahan itu kerana itu sudah menjadi amalan kita.

“Jadi berdasarkan kenyataan yang sudah kita buat, kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di Putrajaya.

Semalam Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan dalam Edisi Peta Standard China 2023.

Peta itu tidak mempunyai kuasa mengikat ke atas Malaysia, katanya dalam kenyataan itu.

Peta itu memaparkan tuntutan maritim unilateral China yang menceroboh kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979, katanya.

Wisma Putra berkata Malaysia secara konsisten menolak tuntutan mana-mana pihak asing terhadap kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasanya ke atas ciri maritim atau kawasan maritim berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

“Malaysia melihat isu Laut China Selatan sebagai perkara yang kompleks dan sensitif,” kata kenyataan itu sambil menambah ia perlu diuruskan secara aman dan rasional melalui rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut. 1982.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Perilaku Para Pihak di Laut China Selatan secara menyeluruh dan berkesan.

“Malaysia juga komited kepada rundingan yang berkesan dan substantif mengenai Kod Tatakelakuan di Laut China Selatan (COC) dengan matlamat untuk memuktamadkan COC secepat mungkin,” katanya.

Pada Isnin Kementerian Sumber Asli Beijing mengeluarkan Edisi Peta Standard China 2023 yang membuat tuntutan ke atas zon ekonomi eksklusif maritim Malaysia di luar Sabah dan Sarawak berhampiran Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam. – 31 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen