Merdeka melewati empat zaman


Mohd Azizi Jaeh

Perbarisan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-66 yang diadakan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Ogos, 2023.

ULANG tahun kemerdekaan ke-66 kali ini ditandai satu lagi sejarah baru pemerintahan. Lantaran meletakkan Malaysia dalam tempoh pengujian dan kematangan demokrasi selepas melalui empat fasa pentadbiran berbeza.

Era Barisan Nasional (1957-2018) beralih ke Pakatan Harapan (2018-2020), kemudian bertukar tangan kepada Perikatan Nasional-Barisan Nasional (2020-2022) seterusnya Pakatan Harapan-Barisan Nasional kembali semula ke menara kuasa (2022 hingga kini).

Menariknya, tiga zaman hanya dalam tempoh lima tahun, satu zaman pula terlalu panjang iaitu 61 tahun.

Urutan sejarah Malaysia menunjukkan transisi kuasa berlaku secara damai dan bukan berbentuk revolusi kekerasan sejak negara merdeka. Ini merupakan kekuatan dan kelebihan yang ada pada Malaysia berbanding kebanyakan negara bekas jajahan yang lain.

Meskipun demokrasi tidak secara persetujuan sepenuhnya, pendirian diambil rakyat dan pemimpin untuk menyelesaikan pertikaian dan kemelut adalah cepat. Jalan perdamaian dan tolak ansur mampu menghindarkan krisis politik terus berlarutan.

Detik untuk berbeza pandangan ada batas, waktu dan ketikanya perlu diredakan, sementara detik terpenting ialah menghormati pungutan suara terbanyak yang merupakan gambaran merdeka kita terus terpelihara.

Lagipun, peralihan (transisi) tidak akan memberi sebarang kesan terhadap pengisian kemerdekaan sekiranya masih ramai warga yang tidak mencapai pendidikan poliitik serta pemahaman demokrasi.

Penggiliran kuasa dan pemimpin bersilih ganti merupakan satu ciri atau bentuk exercise dalam mengukuhkan demokrasi. Putaran kuasa harus dibiarkan mengambil tempatya secara natural dan organik; paling mustahak mekanisme tersebut dapat menguasai dan melekat pada minda masyarakat kita.

Bahkan ia bukanlah suatu episod ‘the end of history’ kepada kehancuran pemerintahan lepas dan parti yang berkuasa sebelum ini misalnya PN, sebaliknya parti yang tidak dapat memerintah sekarang seperti PN masih berpeluang untuk kembali semula mentabir. Itulah pentingnya putaran kuasa dalam sebuah negara yang telah lama merdeka.

Dari satu segi pula, beberapa kumpulan dan pihak di negara ini masih berasa nostagis mengenang kehidupan dahulu di bawah orde pentadbiran lama apabila sukar menyesuaikan diri dengan cara pemerintahan baru.

Kemerdekaan tulen

Oleh itu, penguasa perlu berusaha mewajahkan Malaysia berasaskan ‘kemerdekaan  tulen’ agar impian ke arah kestabilan menjadi realiti. Ketiadaan tekad politik yang kuat akan mengorbankan usaha tersebut.

Paling membimbangkan apabila sering meletakkan naratif yang legasi terdahulu ‘tidak baik’, dan ‘semuanya kesilapan daripada orde terdahulu’ merupakan langkah yang boleh mencetuskan pergolakan dan rasa tidak puas hati berpanjangan.

Oleh itu, sejarah perjuangan pemimpin tanpa mengira jalur parti harus diberikan penilaian adil agar tidak memadamkan menafikan sumbangan dan jasa mereka yang kecundang dalam pilihan raya umum.

Jika hanya menyandarkan naratif ‘baik’ dan ‘tidak baik’ terhadap parti itu dan ini, ia sekali lagi mengulangi kesilapan sejarah.

Amanah kemerdekaan

Perlu diingatkan sebuah kemerdekaan datang bersamanya amanah yang mesti dimaknai dengan semangat demokrasi dan menjunjung prinsip negara hukum. Maka kaedahnya ialah dengan hidup dalam kerukunan dan saling menghormati sekaligus berusaha memajukan ekonomi yang membebaskan semua. Anwar selaku PMX memikul beban yang berat.

Justeru tanggungjawab penguasa kini adalah penyambung dan penerus. Pengisian merdeka masih belum cukup dan sempurna. Segala perencanaan dan projek menyempurnakan kemerdekaan perlu dilipatgandakan.

Tugas melengkapkan kemerdekaan ialah melaksanakan ‘tugas sejarah’ dan perjuangan yang belum selesai dilakukan oleh penguasa terdahulu.

Apatah lagi, kemerdekaan negara bukan hanya dari segi fizikal apabila kolonial memindahkan kuasa pentadbiran kepada anak watan. Hal  ini telah pun lama selesai.

Namun mengisi kemerdekaan ialah menjadikan warganya berkesedaran tinggi untuk menjiwai makna sebenar kemerdekaan. Sepertimana ungkapan popular tokoh kiri  kemerdekaan Burhanuddin al-Helmy “di atas robohan Kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka.”

Biarpun kita semua tahu bahawa kemerdekaan hakiki bagi setiap individu masih tidak tercapai dan dalam proses pembikinan, namun ia hanya berkumandang sebagai retorik ketika sambutan kemerdekaan. Anehnya kita tidak akan berasa puas kalau kita tidak didodoikan retorik kemerdekaan sebegini. Alangkah masochisticnya selera politik kita.

Oleh yang demikian, kemerdekaan perlu disegarkan naratifnya bukan sekadar acara memperingati tarikh, memperlihatkan segala simbol patriotisme, mengkumandangkan lagu-lagu serta melaungkan slogan berapi-api di khalayak awam.

Tetapi apa yang paling penting menjadi rakyat yang memiliki kebebasan berfikir dengan pengetahuan secukupnya. Dapat menilai pro dan kontra setiap parti politik yang memerintah pada setiap zaman berbeza.

Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66. – 31 Ogos, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen