Jho Low buka akaun syarikat 3 bulan sebelum terima AS$700 juta


Low Taek Jho membuka akaun bank Swiss untuk Good Star Limited (Ltd) tiga bulan sebelum syarikat miliknya itu menerima dana AS$700 juta milik 1MDB pada 2009. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2023.

AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low membuka akaun bank Swiss untuk Good Star Limited (Ltd) tiga bulan sebelum syarikat miliknya itu menerima dana AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009.

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan, 34 memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini Jho Low membuka akaun bank Good Star Ltd pada 11 Jun 2009 dan syarikat itu menerima AS$700 pada 30 September 2009.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata menurut rekod perbankan 1MDB mengarahkan Deutsche Malaysia supaya melakukan pemindahan tersebut (AS$700 juta).

Adam Ariff yang juga penganalisis pasukan petugas khas (1MDB) itu berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dalam perbicaraan Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB.

Bagaimanapun, peguam bela Najib Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata pasukan pembelaan mengekalkan bantahannya terhadap kebolehterimaan dokumen yang menjadi sandaran pihak pendakwaan untuk membuktikan pembukaan akaun Good Star.

Terdahulu, ketika membaca pernyataan saksi, Adam Ariff memaklumkan RM2.28 bilion dikreditkan dalam akaun peribadi Najib menerusi 19 transaksi dari 2011 hingga 2014 boleh dijejak daripada dana yang dikumpul dan dimiliki 1MDB berdasarkan analisis 343 dokumen dan rekod perbankan.

Membaca laporan yang disediakan pada Julai lalu mengenai jejak aliran wang masuk ke akaun perbadi Najib, Adam Ariff berkata beliau sudah membuat kenyataan dan analisis dalam laporan itu secara jujur, tepat dan boleh dipercayai.

Dalam laporan itu, katanya beliau tidak mempunyai sebab untuk mempercayai terdapat sebarang fakta material yang mengelirukan atau dirahsiakan daripadanya.

Najib, 70 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 September ini. – Bernama, 30 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen