3 lagi polis ditahan bantu siasatan rasuah tukar keputusan ujian air kencing


Kalidevi Mogan Kumarappa

TIGA lagi penyiasat Jabatan Siasatan Narkotik Johor ditahan semalam menjadikan lebih 30 kesemuanya yang ditahan untuk membantu siasatan berhubung dakwaan pemberian rasuah kepada ahli patologi hospital kerajaan di negeri itu antara 2018 hingga 2022, kata sumber agensi antirasuah.

Sumber polis memaklumkan sehingga ini 37 ditangkap secara berperingkat sejak Februari 2023 dan dijamin pada hari sama.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu tiga yang ditahan semalam ialah seorang asisten superintenden dan dua sarjan yang bertugas di ibu pejabat polis daerah Mersing, Johor Bahru Utara dan Kluang.

“Tiga tangkapan terkini ini dilakukan di pejabat SPRM Johor ketika mereka hadir memberi kenyataan dan dibebaskan dengan jaminan.

“Semua tangkapan ini dilakukan secara berperingkat dan dibebaskan dengan jaminan pada hari yang sama.

“Semua tangkapan ini adalah susulan daripada penahanan ahli patologi di sebuah hospital kerajaan di negeri ini kerana meminta dan menerima wang rasuah daripada pemilik sampel air kencing bagi pengesanan kandungan dadah sebagai balasan untuk menukar keputusan sampel air kencing itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tangkapan semalam dibuat susulan penahanan seorang kakitangan makmal perubatan pada Februari lalu selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM20,000.

Sumber menjelaskan siasatan mereka mendapati pegawai polis merasuah ahli patologi untuk bersubahat menukar keputusan sampel air kencing yang didapati positif dadah.

“Semua kesalahan itu dipercayai dilakukan dalam tempoh 2018 hingga 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan berhubung penahanan anggota berkenaan.

“Tangkapan dilakukan oleh SPRM dan bagi setiap tangkapan itu, JIPS akan membuka kertas siasatan atas kesalahan tatatertib.

“SPRM sedang menyiasat ramai pegawai kanan dan pegawai penyiasat dari jabatan narkotik di negeri berkenaan dan siasatan JIPS adalah selari dengan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 30 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen