AGC bantah permohonan Bersatu agar 4 kerusi Parlimen di Sabah dikosongkan


JABATAN Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan empat ahli Parlimen di Sabah.

Bersatu memfailkan tindakan undang-undang memohon supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat ahli Parlimen itu kosong.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili AGC memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang permohonan Bersatu perlu ditolak kerana keputusan itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang antilompat seperti yang dinyatakan dalam Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman kerana Perkara 63 Perlembagaan,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Amarjeet Singh.

Perkara 63 menyatakan kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mahkamah.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu pada 17 April lepas.

Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen itu iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Sementara itu, peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili Kiandee dan Muhammad Suhaimi berhujah yang permohonan semakan kehakiman itu perlu didengar kerana ia bukan suatu yang remeh dan menyusahkan.

“Speaker melampaui bidang kuasanya kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan Bersatu atau membuat penentuan bila keanggotaan responden kedua hingga kelima dalam Bersatu terhenti.

“Penetapan speaker itu tidak rasional dan menyalahi undang-undang kerana ia menyalah tafsir peruntukan perlembagaan Bersatu dan sewajarnya adalah kesilapan undang-undang,” kata bekas speaker Dewan Rakyat.

Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk keputusan permohonan itu.

Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima memberi penjelasan dan mengesahkan tiada berlakunya kekosongan kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.

Bersatu juga memohon satu deklarasi empat ahli Parlimen itu berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen berkenaan. – Bernama, 29 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen