Jasmine Loo mungkin dipanggil beri keterangan dalam bicara 1MDB Najib


Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2023.

PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ia akan memanggil sekurang-kurangnya empat lagi saksi untuk memberi keterangan termasuk bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata selain Loo tiga lagi saksi adalah penganalisis Bank Negara Malaysia, dua pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Beliau berkata demikian ketika hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bertanya kepada pihak pendakwaan berapa ramai lagi saksi yang akan dipanggil sekiranya saksi pendakwaan ke-46 iaitu bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz selesai memberi keterangan.

Pada 12 Julai lepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Loo ditahan oleh polis pada 7 Julai untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Hari ini peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah beliau mahu menangguhkan pemeriksaan balas ke atas Zeti.

Beliau membuat permohonan itu (tangguh pemeriksaan balas) selepas Zeti memberi keterangan beliau bertemu bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Ashok Ramamurthy sekali selepas beliau mengambil alih jawatan itu apabila Cheah Tek Kuang (bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank) memperkenalkan kepadanya semasa kunjungan hormat.

Zeti menafikan dakwaan Muhammad Shafee bahawa Ashok menghantar kepadanya kemas kini mengenai akaun Najib.

Beliau mengulangi keterangannya sebelum ini bahawa beliau telah memaklumkan kepada Cheah semasa pertemuan pertama mereka pada 2011 bahawa apa-apa berkaitan dengan akaun Najib harus ditujukan kepada timbalan gabenor BNM ketika itu.

Pada ketika ini, Muhammad Shafee membuat permohonan kepada Hakim Sequerah untuk meminta kenyataan yang didakwa direkodkan oleh SPRM daripada Ashok di Singapura.

Peguam itu kemudian berkata beliau mahu pemeriksaan balas ke atas Zeti dihentikan, sementara menunggu permohonannya.

“Yang Arif, saya ingin menyoal pegawai penyiasat berhubung kenyataan yang didakwa ini. Saya juga mahu memanggil semula Cheah,” katanya.

Susulan itu Ahmad Akram mencelah dengan berkata tiada kenyataan “secara rasmi atau tidak rasmi” yang beliau tahu ketika ini kerana Ashok bukanlah seorang daripada saksi yang dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan itu.

Hakim kemudian meminta Zeti untuk hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan kemudian.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama, 29 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen