Syarikat swasta dipelawa sertai IPR-Intan, kata Rafizi


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata syarikat swasta dipelawa menyertai Program Usahawan Tani (Intan) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-Intan) melalui kaedah permohonan cadangan (RFP). – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2023.

KERAJAAN menjemput syarikat swasta yang mempunyai kemahiran dan keupayaan dalam pertanian dan penternakan untuk menjadi rakan strategik Program Usahawan Tani (Intan) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-Intan) melalui kaedah permohonan cadangan (RFP).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkata syarikat swasta terpilih akan melatih peserta yang terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar dan B40 termasuk aspek teknikal, keusahawanan dan pengurusan projek untuk bersama-sama mengusahakan projek pengeluaran hasil pertanian

Beliau berkata tujuh Pihak Berkuasa Koridor (PBK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) yang diberikan peruntukan dana untuk melaksanakan IPR-Intan itu akan mengeluarkan jemputan RFP, membuat pemilihan, melantik dan memantau projek yang dianugerahkan kepada syarikat yang layak.

Peruntukan dana RM100 juta tahun ini itu diagihkan kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) masing-masing RM20 juta.

Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) masing-masing RM15 juta manakala Iskandar Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) masing-masing RM5 juta.

Rafizi berkata syarikat swasta berminat perlu mengemukakan cadangan projek kepada PBK atau PKEN seperti skop, kaedah pelaksanaan, unjuran pengeluaran, unjuran pendapatan peserta, purata harga jualan ladang, kos penyediaan infrastruktur dan latihan peserta serta pelan jangka panjang peserta dan projek.

“Pemilihan syarikat swasta akan dibuat berasaskan beberapa kriteria terutamanya pengalaman dalam projek pertanian, reputasi yang baik dalam industri, struktur pengurusan yang baik dan kemampuan kewangan yang kukuh,” katanya.

Anggaran keluasan tanah yang terlibat dalam projek IPR-Intan itu ialah 242.8 hektar melibatkan 1,200 peserta dengan setiap peserta akan menerima jaminan pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, katanya.

Rafizi berkata setiap peserta akan disediakan dokumen kontrak bagi memastikan hak berkaitan jelas dan dilindungi termasuk  berkaitan perkongsian lebihan keuntungan sekiranya harga jualan hasil pertanian lebih tinggi daripada anggaran asal.

Beliau berkata pelaksanaan projek IPR-Intan secara RFP itu boleh dilaksanakan sama ada di tanah milik kerajaan atau tanah milik persendirian.

“Bagi tanah milik kerajaan, Rafizi berkata tempoh kebenaran minima penggunaan tanah adalah lima tahun sementara bagi tanah milik persendirian, tempoh kebenaran minima penggunaan tanah adalah 10 tahun dan mempunyai klausa pelanjutan untuk tempoh seterusnya.

“Tanah tersebut juga perlu berada dalam keadaan sesuai atau sedia digunakan bagi mengelakkan sebahagian besar kos projek digunakan bagi memperbaiki tanah atau kawasan berkenaan, katanya.

Program IPR-Intan adalah pendekatan pelbagai serampang yang diambil oleh Kementerian Ekonomi untuk menangani isu keselamatan dan keterjaminan makanan menggunakan kaedah pertanian moden di samping membasmi kemiskinan demi kemampanan masa depan negara. – Bernama, 29 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen