Bangkai pesawat tentera Myanmar ditemui bersama mayat di Laut Andaman


Pesawat tentera Myanmar gagal dihubungi oleh menara kawalan udara pada 1.35 petang Rabu, kira-kira setengah jam selepas berlepas. – Gambar fail EPA, 8 Jun, 2017.

TENTERA Myanmar hari ini berkata ia menemui bangkai pesawat yang hilang dengan 122 penumpang dan anak kapal di dalamnya, bersama beberapa mayat di Laut Andaman.

Operasi mencari menggunakan kapal tentera laut di kawasan berombak kuat itu menemui mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak selain beg pakaian, jaket keselamatan dan tayar dipercayai daripada roda pesawat berkenaan.

“Kami sudah menemui pesawat dan beberapa mayat pagi ini kira-kira jam 8.25 pagi,” kata jurucakap pasukan informasi tentera.

Ketua komander mengesahkan bangkai pesawat itu ditemui di luar pantai Launglon, di selatan Myanmar, pagi ini.

Sembilan kapal tentera laut dan tiga pesawat tentera udara dihantar untuk mencari pesawat itu yang hilang pada petang Rabu ketika ia merentasi bandar selatan Myeik menuju Yangon, ibu kota Myanmar.

Maklumat mengenai jumlah mereka yang berada dalam pesawat bercanggah, tetapi kemas kini terbaru oleh tentera berkata pesawat itu membawa 122 orang.

Lebih separuh daripada penumpang adalah ahli keluarga tentera, termasuk 15 kanak-kanak, bersama 35 anggota tentera dan 14 anak kapal, kata pejabat ketua tentera dalam satu kenyataan.

Ada antara penumpang berkenaan dalam perjalanan untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan atau ke sekolah di Yangon.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini ketika waris penumpang bertabah menunggu berita mengenai sebarang kemungkinan.

Wai Lin Aung berkata ibunya berada dalam pesawat itu selepas melawat kakaknya yang berkahwin dengan seorang anggota tentera berpangkalan di Myeik.

Myanmar sedang berdepan musim hujan tetapi tiada laporan cuaca ribut di kawasan itu pada masa berkenaan.

Pesawat itu gagal dihubungi oleh menara kawalan udara pada 1.35 petang Rabu, kira-kira setengah jam selepas berlepas.

Tentera Myanmar berkata kapten pesawat empat enjin turboprop Shaanxi Y8 itu, Leftenan Kolonel Nyein Chan berpengalaman melakukan lebih 3,000 jam penerbangan.

Pesawat itu dibeli pada Mac 2016 dan melakukan 809 jam penerbangan.

Serpihan pesawat ditemui di Laut Andaman, bahagian utara di mana lokasi terakhir pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 diketahui. – AFP, 8 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen