Anak bunuh bapa kerana berang sering dihina


BERANG akibat sering dihina kerana tidak bekerja dan dimarahi mengambil minuman keras, menjadi motif kepada kes seorang bapa dibunuh anak lelakinya dalam kejadian di Bandar Sunway, di Petaling Jaya, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata teguran itu, membuatkan suspek tidak berpuas hati lalu mengambil tindakan memukul kepala dan bahagian anggota badan bapanya, dipercayai menggunakan penyodok pasir hingga menyebabkan kematian.

“Mayat lelaki berusia lingkungan 70-an itum kemudian ditemukan ahli keluarga terdekat di tepi jalan PJS 10/24 pada kira-kira 2.15 pagi dan kematiannya disahkan petugas perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, yang tiba di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 40-an pada hari sama (Sabtu) di Jalan PJS 10/9A, Bandar Sunway pada 9.10 pagi,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mayat lelaki warga emas itu ditemukan ahli keluarga dengan dibaluti kain langsir di tepi jalan di sekitar jalan PJS10.

Fakhrudin berkata siasatan awal mendapati suspek dan mangsa sering bertengkar dalam pelbagai perkara, selain suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan pecah amanah serta memiliki bahan kakisan, letupan dan senjata berbahaya.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis merampas sebatang penyodok pasir dan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek untuk membawa mayat bapanya, untuk dibuang ke lokasi kejadian. 

Suspek direman tujuh hari sehingga 2 September depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama, 29 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen