Suasana pilu iringi penghantaran pulang anak panda gergasi ke China


Sheng Yi (kiri) bermain dengan ibunya Feng Yi di di Zoo Negara Kuala Lumpur. Malaysia menghantar Sheng Yi dan seekor lagi anak panda ke China sebagai sebahagian daripada perjanjian antara kedua-dua negara. – Gambar AFP, 29 Ogos, 2023.

SUASANA pilu menyelubungi Zoo Negara apabila anak panda gergasi Yi Yi dan Sheng Yi yang comel serta menjadi sebahagian daripada keluarga di pusat pelancongan itu dihantar pulang ke China hari ini.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmad Lana berkata kakitangan zoo tidak dapat menahan kesedihan kerana Yi Yi dan Sheng Yi membesar dalam persekitaran Zoo Negara sejak dilahirkan pada 14 Januari 2018 dan 30 Mei 2021.

Beliau berkata keletah dua anak panda itu sentiasa menjadi penghibur kepada pengunjung yang tertarik dengan kecomelan haiwan itu.

“Telatah kedua-duanya yang sepanjang masa suka bermain dan aktif menjadi tarikan pengunjung zoo. Kami bersyukur diberi masa untuk bersama dan terima kasih Yi Yi serta Sheng Yi, kami akan simpan kenangan, tawa dan kasih sayang yang dibawa,” katanya selepas Majlis Penghantaran Pulang Anak Panda Gergasi kedua dan ketiga, Yi Yi dan Sheng Yi di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa itu membolehkan Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan mengenai pemuliharaan haiwan berkenaan selain membangunkan dan melatih kepakaran tempatan.

Sehingga kini pasangan panda itu yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang, melahirkan tiga ekor anak panda iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan 18 Ogos 2015, Yi Yi dan Sheng Yi.

Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017.

Mengikut perjanjian setiap anak panda berkenaan perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia empat tahun.

Kehadiran haiwan tersebut di Pusat Konservasi Panda Gergasi turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dan membantu meningkatkan pendapatan Zoo Negara.

Sementara itu Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Huang Tiong Sii berkata penghantaran pulang Yi Yi dan Sheng Yi dilaksanakan sebagai mematuhi Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang ditandatangani antara Malaysia dan China itu.

“Yi Yi yang kini berusia lima tahun sepatutnya dihantar pulang pada 2020, tetapi terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik Covid-19.

“Sheng Yi pula mencecah usia 24 bulan pada Mei lepas. CWCA (Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China) bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menghantar kedua-dua anak panda ini bersekali,” katanya pada sidang media ketika majlis itu.

Dalam pada itu Huang berkata satu penilaian bersama akan diadakan dengan CWCA bagi menilai pencapaian perjanjian projek kerjasama berkenaan.

Menurutnya penilaian tersebut akan merangkumi aspek tahap kesihatan, pembiakan, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan serta hubungan dua hala.

“Penghantaran pulang dua anak panda ini bagi tujuan konservasi untuk membolehkan ia bergaul dan membiak dengan panda yang lain.

“Saya berharap panda gergasi yang merupakan utusan khas dari Republik Rakyat China ini dapat menggalakkan lagi persefahaman dan kerjasama erat antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media pada majlis itu yang turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Zaharin Md Arif. – Bernama, 29 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen