KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memulakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) baharu melalui inisiatif kelas hibrid, lapor The Vibes.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata PdP rintis itu dijangka melibatkan 110 institusi pendidikan terpilih dan 550 kelas.
Beliau berkata perintis kelas hibrid adalah untuk menggabungkan PdP digital dan bersemuka dalam ekosistem yang sama.
“Kaedah ini membolehkan PdP merentas kelas dan merentas sekolah dijalankan termasuk di peringkat antarabangsa.
“Sementara pakar dari pelbagai bidang boleh terlibat untuk meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan di kalangan guru dan pelajar,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Bagi mempertingkatkan proses itu, Fadhlina berkata bilik darjah dinaik taraf dengan kemudahan digital seperti Papan Pintar, TV pintar, set kamera dan perakam audio.
“Infrastruktur rangkaian dalaman (Local Area Network – LAN) juga akan dinaik taraf untuk membolehkan akses internet di semua bilik darjah ini.
“Dengan melaksanakan inisiatif kelas hibrid ini, kapasiti pendidikan digital boleh diperkukuh bagi meningkatkan kualiti PdP,” katanya.
Fadhlina juga berkata KPM sedang berusaha untuk melengkapkan semua sekolah di seluruh negara dengan liputan internet berkelajuan tinggi terutama di kawasan luar bandar.
Setakat ini, kementerian menyediakan akses internet jalur lebar dengan kelajuan antara 30 Mbps hingga 300 Mbps kepada 10,237 sekolah melalui Pakej Perkhidmatan Internet Interim.
Menurut KPM, 4,957 sekolah telah disediakan sambungan gentian optik, 4,681 telah dilengkapi jalur lebar 4G tanpa wayar, dan 599 telah disambungkan melalui pautan satelit.
Beliau berkata pada masa ini, akses internet di sekolah terutamanya terdapat di makmal komputer, bilik guru dan pejabat pentadbiran.
“Kami merancang untuk melaksanakan Rangkaian Internet KPM Bersepadu (MoE.Net), yang akan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada semua bilik darjah di sekolah.”
Beliau berkata MoE.Net akan mengutamakan teknologi gentian dengan kelajuan antara minimum 100 Mbps hingga 1,500 Mbps, bergantung kepada saiz dan populasi institusi pendidikan.
“MoE.Net juga akan mempertingkatkan infrastruktur rangkaian dalaman, membolehkan capaian internet dari semua lokasi dalam premis gabungan KPM,” katanya. – 29 Ogos, 2023.
Komen