PROJEK pembinaan mahkamah baharu Ampang, Selangor merangkumi empat Mahkamah Sesyen dan enam Mahkamah Majistret dijadualkan siap pada 17 Disember ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Beliau berkata sehingga 21 Ogos lalu status fizikal projek mahkamah yang akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini seperti Sistem Court Recording Voice-To-Text (RVT) adalah pada 85.34 peratus.
Pembinaan mahkamah tersebut diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).
Pelaksanaan semula projek adalah bagi menyiapkan baki kerja di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia ke -12 (RMKe-12), katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya Mahkamah Ampang sedia ada beroperasi dengan menyewa di bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terdiri daripada tiga Mahkamah Sesyen dan tiga Mahkamah Majistret.
Azalina berkata selain Ampang di Selangor terdapat enam lagi mahkamah baharu yang sedang dibina iaitu di Sik, Kedah; Pengerang, Johor; Temerloh, Pahang; Mahkamah Sesyen dan Majistret di Ipoh, Perak; Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Johor dan di Bachok, Kelantan.
Katanya projek naik taraf mahkamah sedia ada juga sedang giat dilaksanakan di seluruh negara.
Dalam pada itu beliau berharap pembinaan mahkamah baharu, naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan mahkamah itu akan memberi keselesaan kepada kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam yang akan menggunakan kemudahan infrastruktur itu kelak.
“Ini juga dapat menambah baik prasarana badan kehakiman negara serta dapat memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dalam bidang kehakiman dan perundangan kepada rakyat,” katanya. – Bernama, 28 Ogos, 2023.
Komen