Indonesia giat padam kebakaran hutan, ladang ketika musim kering


Kebakaran hutan dan tanah pertanian terus berlaku di Kalimantan Tengah, di mana 63 titik panas dikenal pasti di tujuh mukim. – Gambar AFP, 28 Ogos, 2023.

PASUKAN pemadam kebakaran Indonesia kini sedang giat menangani kebakaran gunung di lereng Gunung Arjuno dekat Malang di Jawa Timur, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Kebakaran, pada Sabtu yang bermula pada 10 malam waktu tempatan melanda kawasan berbukit dengan belukar serta savana.

“Mengawal kebakaran adalah sukar kerana arah tiupan angin yang berubah, dan punca serta tahap kebakaran masih dalam siasatan,” menurut jurucakapnya Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Di Jawa Barat, kebakaran seluas 151 hektar marak di kawasan pertanian Gunung Ciremai, di Taman Negara Gunung Ciremai, Kuningan.

Beliau berkata arah angin berubah-ubah juga memerlukan pemadaman kebakaran secara manual di kawasan yang sukar.

BNPB juga melaporkan kejadian kebakaran yang berbeza di Tapak Pembuangan Sisa Bersepadu Sarimukti di Bandung Barat, kira-kira 171 kilometer dari Gunung Ciremai.

Agensi itu mengerahkan helikopter pemadam kebakaran untuk membantu, manakala pasukan darat sedang menangani titik panas yang masih terdapat daripada longgokan sisa menggunakan trak tangki air.

Di kepulauan timur Indonesia, kebakaran hutan dan tanah pertanian seluas 40 hektar berlaku di Flores Timur akibat amalan pembersihan tanah di kampung Nurabelen, Ile Bura.

Abdul Muhari berkata api juga merebak ke kawasan lain tetapi pihak berkuasa memadamkan sebahagian besar kebakaran.

Beliau menambah Kalimantan Barat menghadapi cabaran besar, dengan kebakaran hutan dan tanah pertanian melibatkan kawasan seluas kira-kira 5,700 hektar dan pihak berkuasa memulakan usaha pembenihan awan.

Walaupun kebakaran seluas 1,978 hektar di Kalimantan Selatan berjaya dikawal, kebakaran hutan dan tanah pertanian terus berlaku di Kalimantan Tengah, di mana 63 titik panas dikenal pasti di tujuh mukim. – Bernama, 28 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen